SHAH ALAM – Yayasan MBI memperluaskan lagi bantuan pendidikannya dengan memfokuskan kepada intervensi awal melibatkan kanak-kanak berusia lima dan enam tahun di Selangor.
Langkah prasekolah itu diambil sebagai benteng awal bagi menyekat risiko keciciran penguasaan membaca, menulis dan mengira (3M) sebelum kelompok usia berkenaan melangkah ke alam persekolahan sebenar.
Ketua Yayasan Menteri Besar Selangor Pemerbadanan (MBI) Ahmad Azri Zainal Nor berkata, pihaknya sudah bersedia dengan acuan tersendiri bagi memastikan fasa transisi pendidikan awal kanak-kanak ini berjalan lancar.
“Bagi kanak-kanak berusia lima dan enam tahun ke atas, kita sudah bersedia kerana kami mempunyai modul Didik Kasih sendiri.
“Kita yakin dan bersedia untuk membawa modul yang lebih mudah serta menarik ini bagi membantu murid-murid yang berkemungkinan besar akan dimasukkan ke kelas pemulihan,” katanya selepas selesai majlis Peluncuran Program Tuisyen Rakyat Selangor & Program Didik Kasih di sini, hari ini.
Majlis dirasmikan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari selain turut dihadiri Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Negeri, Mohd Najwan Halimi; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBI Selangor, Datuk Ts Saipolyazan M Yusop; Pengarah Pendidikan Negeri Selangor, Datin Wan Nor Ashikin Abu Kassim dan Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad.
Ahmad Azri berkata, keberkesanan Modul Didik Kasih menunjukkan usaha agresif itu nyata membuahkan hasil apabila berjaya mengurangkan bilangan murid di dalam kelas pemulihan secara signifikan.
“Impak ‘renjatan’ terhadap sistem pendidikan negara sewaktu pandemik Covid-19 sebelum ini, telah menuntut komitmen yang tinggi daripada agensi negeri untuk turun padang menyelamatkan kelompok murid yang digelar sebagai ‘Lost Generation’ (generasi tercicir).
“Alhamdulillah, kita berjaya menurunkan data daripada 25,000 pelajar kepada sekitar 17,000 hingga 20,000 pelajar sahaja lagi yang kini berada di kelas pemulihan.
“Ini adalah hasil intervensi menerusi Program Didik Kasih di mana kita turut membantu program intervensi kurikulum Kementerian Pendidikan (KPM) yang sekali gus memberi manfaat kepada pelajar-pelajar ini,” jelasnya.
Dalam pada itu, Ahmad Azri turut berkongsi mengenai evolusi Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) yang kini tidak lagi hanya bertumpu kepada pelajar di saat-saat akhir peperiksaan.
“Jika peringkat awal pelaksanaannya memfokuskan kepada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), strategi itu kini diubah demi memberikan impak yang lebih efektif apatah lagi UPSR sudah dimansuhkan.
“Kalau kita bersedia lebih awal iaitu di peringkat Tingkatan Empat, ia (persediaan SPM) akan menjadi lebih mudah. Sebab itu, pada tahun lepas, kita sudah pun mulakan peluasan PTRS ini bagi pelajar Tingkatan Empat,” katanya.
Katanya lagi, Yayasan MBI akan terus komited bertindak sebagai rakan strategik kepada KPM demi masa depan anak-anak Selangor.
“Kami sentiasa bersedia untuk membantu KPM, di mana akhirnya manfaat terbesar ini akan dipulangkan semula kepada murid-murid di Selangor,” ujarnya. -MalaysiaGazette
















