KUALA LUMPUR – Semangat pengorbanan dan ketaatan yang dizahirkan menerusi sambutan Aidiladha perlu diterapkan dalam kehidupan seharian masyarakat Islam.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Salehuddin Saidin berkata,  Aidiladha bukan sekadar perayaan, sebaliknya menjadi manifestasi penghayatan terhadap nilai pengorbanan, keikhlasan dan kepatuhan kepada perintah Allah SWT seperti yang ditunjukkan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail.

“Keimanan yang sebenar menuntut kesediaan untuk berkorban demi mencapai keredaan Allah SWT.

“Seiring titah Sultan Selangor sempena Aidiladha tahun ini, umat Islam perlu terus memperkukuhkan perpaduan dan mengelakkan sebarang bentuk perpecahan,” katanya dalam kenyataan sempena Hari Raya Aidiladha 1447H/2026M hari ini.

Beliau berkata, MAIS sentiasa komited dalam memperkasa syiar Islam, memperkukuh institusi serta memastikan kebajikan masyarakat Islam terus dipelihara.

Ujarnya, umat Islam juga perlu sentiasa menunjukkan sikap dan adab terbaik dengan mengambil ibrah daripada ibadah haji dan korban.

“Umat Islam perlu mengukuhkan perpaduan ummah berteraskan akidah dan persaudaraan Islam tanpa mengira pangkat, keturunan dan kedudukan,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh petugas, sukarelawan, agensi kerajaan, institusi masjid dan surau serta semua pihak yang terlibat dalam menjayakan urusan ibadah korban dan program kemasyarakatan sepanjang musim Aidiladha. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast