KUALA LUMPUR – Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang tampil menyanggah dakwaan kononnya Pas mengamalkan politik ‘mullah’ sambil menyifatkan pihak yang melabelkan parti itu sedemikian sebagai jahil terhadap ilmu Islam sebenar.
Ahli Parlimen Marang itu mendakwa istilah ‘mullah’ sengaja dimainkan oleh Barat menerusi agenda Islamofobia bagi memberi gambaran negatif terhadap politik Islam dan gerakan Islam di seluruh dunia.
“Para ilmuwan Barat sengaja memomokkan Islam dengan perkataan yang dikiranya memberi gambaran yang negatif, khususnya dalam agenda Islamofobia yang dilariskan pada zaman kini.
“Malangnya, terdapat dalam kalangan umat Islam yang buta terhadap al-Quran terikut sama mencanangkan propaganda musuh terhadap Islam, antaranya jenama mullah dan teokrasi,” katanya menerusi catatan Minda Presiden Pas hari ini.
Kenyataan Abdul Hadi itu merujuk laporan sebuah portal kelmarin yang memetik sumber dalaman Bersatu sebagai berkata, isu kerjasama Pas-Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN) yang dibangkitkan beliau sudah diselesaikan secara konsensus dalam mesyuarat Majlis Tertinggi gabungan pembangkang itu.
Sumber itu berkata, PN ditadbir atas semangat kerjasama dan persefahaman antara parti komponen, bukan ditentukan seseorang secara mutlak.
Menurut Abdul Hadi, istilah ‘mullah’ berasal daripada perkataan Arab ‘mawla’ yang membawa maksud tuan atau pelindung dan dalam sesetengah masyarakat Islam ia merujuk kepada ilmuwan agama yang dihormati.
Bagaimanapun katanya, Barat sering menggunakan istilah itu secara sinis dengan menyamakan pemimpin Islam seperti paderi dalam agama Kristian selain menggambarkan sistem pemerintahan Islam sebagai teokrasi yang antidemokrasi dan menindas wanita.
“Di Barat, istilah `mullah’ sering digunakan dalam konteks yang diterjemahkan sebagai pendeta Islam atau pemimpin undang-undang dan doktrin Islam yang disamakan dengan istilah paderi atau pendeta dalam agama Kristian.
“Antara ciri-ciri utama sistem teokrasi mengikut istilah Barat ialah konotasi politik dan media yang sering dikaitkan secara eksklusif dengan teokrasi, sistem pemerintahan di mana pentadbiran negara dijalankan berdasarkan undang-undang atau hukum agama,” katanya.
Abdul Hadi turut mendakwa Iran sering dijadikan bahan momokan Barat bagi menggambarkan negara Islam sebagai diperintah golongan agamawan secara mutlak, sedangkan hakikat sebenar jauh berbeza daripada naratif orientalis Barat.
Katanya, pengkaji Barat gagal memahami struktur sebenar institusi ilmu Islam kerana menggunakan lensa bias dan agenda politik untuk menilai sistem pemerintahan Islam.
“Penggunaan istilah ini oleh sarjana Barat (orientalis) sering dikritik oleh ahli akademik Islam. Pengkaji dalam wacana orientalisme menekankan bahawa Barat sering menggambarkan Timur (termasuk Islam) melalui lensa bias bagi tujuan hegemoni dan politik.
“Dari sudut pandang Islam, pengkategorian seperti ini gagal menangkap kepelbagaian hierarki sebenar institusi keilmuan Islam,” katanya.
Beliau menegaskan Islam tidak pernah meletakkan pemimpin agama sebagai ‘tuhan politik’ sebaliknya konsep pemerintahan Islam berasaskan syura, keadilan dan panduan wahyu serta kebijaksanaan manusia.
“Islam berkonsepkan negara berperlembagaan yang tidak bertuhankan pemimpin bagi mentadbir urusan negara dalam segala aspek politik, ekonomi dan semua urusan bermasyarakat, dengan petunjuk Allah dan kebijaksanaan manusia yang diberikan akal.
“Maka, istilah perkataan mullah mengikut teori Barat bukan daripada fiqh siyasi (ilmu politik Islam),” katanya.
Dalam nada lebih keras, Abdul Hadi turut mengingatkan bahawa bercakap mengenai Islam tanpa ilmu merupakan satu pembohongan besar terhadap agama dan perjuangan politik Islam.
“Membuat kenyataan tanpa ilmu Islam yang sebenar adalah satu pembohongan terhadap Islam serta menyalahi negara Islam yang dijanjikan oleh Allah SWT.
“Allah mengharamkan percakapan mengenai Islam tanpa ilmu,” tegasnya. – MalaysiaGazette
















