Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook. Foto MUHAIMIN MARWAN, 26 Mei 2026. (Gambar fail)

KAJANG – Kehadiran anggota penguat kuasa termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di kawasan panas atau hot spot sempena Ops Khas Hari Raya Aidiladha bukan bertujuan mengeluarkan saman kepada pengguna jalan raya, sebaliknya bagi meningkatkan kesedaran keselamatan dan mengurangkan risiko kemalangan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pendekatan meletakkan anggota penguat kuasa di lokasi berisiko tinggi terbukti berkesan dalam mengurangkan kadar kemalangan setiap kali musim perayaan.

Menurutnya, persepsi masyarakat bahawa kehadiran JPJ hanya untuk menyaman adalah tidak tepat kerana tujuan utama operasi tersebut adalah untuk memberi kesan psikologi kepada pengguna jalan raya supaya lebih berhati-hati ketika memandu.

“Setiap kali musim raya, ops bersepadu ini dapat kurangkan kemalangan. Apa yang kita buat selama ini ialah melaksanakan pelbagai pendekatan termasuk meletakkan anggota penguat kuasa di hot spot.

“Persepsi orang ramai, bila ada JPJ mereka takut disaman. Tujuan kita bukan nak denda atau saman, tetapi mahu mereka lebih berhati-hati. Ini memberi kesan psikologi supaya mereka lebih berwaspada dan sekali gus dapat mengurangkan kemalangan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pelancaran Pusat Pemeriksaan Kenderaan Motor (PPKM) bagi Pemeriksaan Tukar Hak Milik Persendirian (MV15) oleh Carro Technology di TTDI Grove Square 2, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Anthony Loke berkata, kira-kira 2,000 anggota JPJ digerakkan di seluruh negara bagi menjayakan operasi bersepadu itu dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Mengulas mengenai pemantauan terhadap bas ekspres, beliau berkata, pemeriksaan turut dijalankan di terminal sebelum bas memulakan perjalanan melibatkan semakan terhadap pemandu, cukai jalan, insurans, permit serta Lesen Vokasional Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV).

Katanya, operasi dan pemeriksaan dilakukan secara berterusan termasuk saringan ujian dadah terhadap pemandu bas bagi memastikan keselamatan penumpang sentiasa terjamin.

“Kita beri tanggungjawab kepada syarikat dan jika mereka gagal berbuat demikian, tindakan boleh dikenakan.

“JPJ tidak dapat memeriksa semua pemandu setiap masa kerana pemeriksaan hanya dibuat secara berkala di terminal, namun syarikat mempunyai tanggungjawab memastikan pemandu berada dalam keadaan baik,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast