KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) mendakwa beliau mempunyai bukti kukuh terhadap kehilangan tanpa rekod dana sejumlah RM7.4 juta yang disalurkan kepada Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM).
Menurut beliau, pendedahan itu dibuat setelah mendapati isu berkenaan mempunyai keraguan dan perlu disiasat segera.
“Saya tidak akan beritahu, selain saya sudah ada bukti.
“Pastinya bila kita londeh seluar dia, takkan dia nak kata betul saya yang buat,” katanya di lobi Parlimen.
Ahli Parlimen Parit Buntar itu berkata, pendedahan itu diperoleh daripada audit dalaman yang dijalankan terhadap institusi tersebut baru-baru ini.
Lantaran itu, kerajaan membekukan sementara akaun dan aktiviti IKSIM, berkuat kuasa serta-merta.
Langkah itu membolehkan IKSIM melalui proses pemulihan daripada unsur penyelewengan dana korporat.
“Biar pihak berkuasa yang lakukan siasatan, mereka ada jalan yang baik untuk selesaikan masalah ini.
“Tetapi saya bertanggungjawab atas apa yang saya katakan,” katanya lagi. -MalaysiaGazette
















