KUALA LUMPUR – Wanita MCA menyokong cadangan supaya Kementerian Pendidikan (KPM) menggubal semula prosedur operasi standard (SOP) serta prosedur pengendalian kes guru yang terlibat dengan dakwaan pedofilia, amang seksual, cabul dan kesalahan seksual lain.
Ketua Wanita MCA, Datuk Wong You Fong berkata, sistem pendidikan sepatutnya mengendalikan kes yang melibatkan keselamatan murid di sekolah secara baik.
“Guru yang sedang disiasat atau mempunyai kes berkaitan keselamatan seksual murid tidak sepatutnya ditempatkan di mana-mana sekolah sementara siasatan berjalan sebaliknya tempatkan mereka di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) atau lokasi yang tidak melibatkan murid kerana tindakan menukarkan mereka ke sekolah lain hanya membuka ruang kepada lebih ramai murid menjadi mangsa,” katanya menerusi kenyataan.
You Fong berkata demikian mengulas pendedahan seorang bekas guru, Mohd Fadli Salleh berhubung seorang guru yang mempunyai kes amang seksual terhadap murid hanya ditukarkan ke sekolah lain tanpa tindakan tegas sehingga didakwa kembali mencari ‘mangsa’ baharu.
Katanya, ia membuktikan kegagalan besar dalam sistem perlindungan terhadap kanak-kanak dan menujukkan kelemahan sistem pendidikan negara terhadap pengendalian kes melibatkan keselamatan murid di sekolah.
Dalam masa yang sama, You Fong turut menggesa supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil inisiatif untuk menyiasat sekiranya wujud unsur penyalahgunaan kuasa, perlindungan terhadap individu tertentu atau cubaan menutup kes sehingga membahayakan keselamatan murid.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan, keutamaan perlu diberikan kepada keselamatan murid, bukannya menjaga imej institusi atau melindungi pihak tertentu.
Wanita MCA menegaskan, sekolah mesti menjadi tempat paling selamat untuk anak-anak mendapatkan pendidikan, bukannya tempat mereka terdedah kepada risiko pemangsa seksual.
“KPM perlu bertindak segera, telus dan tegas sebelum lebih ramai murid menjadi mangsa akibat kelemahan prosedur sedia ada,” tambahnya.
Baru-baru ini, media melaporkan seorang lelaki ditahan polis bagi membantu siasatan kes cabul melibatkan seorang murid sekolah rendah di kawasan Masai, Seri Alam, Pasir Gudang di sini yang tular di media sosial.- MalaysiaGazette
















