KUALA LUMPUR – Laporan siasatan berhubung insiden tren LRT tergelincir di Stesen Chan Sow Lin awal pagi semalam dijangka siap dalam tempoh 30 hari, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.
Beliau berkata, Kementerian Pengangkutan telah menubuhkan satu pasukan petugas khas yang bebas daripada Prasarana Malaysia Berhad bagi menyiasat punca sebenar kejadian sama ada berpunca daripada kecuaian manusia, kerosakan sistem atau kegagalan teknikal.
“Pasukan ini tidak melibatkan wakil Prasarana. Ia ditubuhkan untuk menyiasat secara bebas sama ada insiden ini berpunca daripada kecuaian manusia, kerosakan sistem atau kegagalan teknikal,” katanya pada sidang media selepas meninjau lokasi kejadian di landasan LRT Chan Sow Lin di sini hari ini.
Menurut Anthony, pasukan siasatan itu akan diketuai oleh Ketua Inspektor Kemalangan Udara di Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU), Brigadier General Tan Chee Kee (TUDM), yang mempunyai pengalaman luas dalam mengendalikan beberapa siasatan kemalangan sebelum ini.
“Kita juga akan mendapatkan kepakaran daripada pakar luar termasuk Rio Engineering untuk bersama dalam pasukan ini,” katanya.
Beliau berkata, terma rujukan serta senarai penuh keahlian pasukan petugas khas itu akan diumumkan dalam masa terdekat.
“Laporan akhir akan dikemukakan kepada Jemaah Menteri dan turut dihebahkan kepada umum sebagai langkah ketelusan,” katanya.
Dalam pada itu, Anthony memaklumkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) turut akan membuka kertas siasatan di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.
“Pasukan petugas khas ini bukan untuk mencari salah siapa tetapi untuk mengenal pasti punca kejadian. Sebarang tindakan punitif akan ditentukan oleh APAD selepas siasatan selesai,” katanya.
Beliau bagaimanapun menegaskan, tidak mahu membuat sebarang kesimpulan awal memandangkan siasatan masih di peringkat awal.
“Saya tidak mahu berlaku tidak adil kepada mana-mana pihak. Sama ada ia berpunca daripada kecuaian atau kegagalan sistem, ia hanya boleh ditentukan melalui siasatan menyeluruh,” katanya.
Anthony turut memaklumkan, beliau akan berbincang dengan Pengerusi Prasarana mengenai kemungkinan melaksanakan audit dalaman menyeluruh terhadap sistem LRT dan MRT di bawah kendalian syarikat itu.
“Apa-apa dapatan dan cadangan akan dimasukkan dalam laporan akhir untuk tindakan susulan,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau memberi jaminan operasi tren dan stesen yang terjejas dijangka kembali pulih sepenuhnya menjelang 3 Jun depan.
“Stesen Chan Sow Lin akan dapat dihidupkan semula dan tren akan beroperasi seperti biasa selepas kerja-kerja pemulihan selesai,” katanya. – MalaysiaGazette
















