KUALA LUMPUR – Menteri Pengangkutan, Anthony Loke akan bertanggungjawab sepenuhnya berhubung insiden melibatkan Prasarana termasuk menubuhkan pasukan petugas khas bagi menjalankan siasatan menyeluruh demi memastikan keselamatan pengguna pengangkutan awam terus terjamin.
Menurut beliau, tanggungjawab tersebut perlu dipikul dan tidak boleh dielakkan meskipun insiden berkenaan merupakan sesuatu yang mendukacitakan.
“Saya bertanggungjawablah mengambil tindakan-tindakan seterusnya. Ini dah tanggungjawab yang saya ambil. Kalau saya letak jawatan, insiden berlaku begitu sahaja, bukannya macam itu.
“Tanggungjawab itu memang kita ambil untuk memastikan tindakan sewajarnya diambil,” katanya pada sidang media selepas meninjau lokasi kejadian di landasan LRT Chan Sow Lin di sini hari ini.
Anthony berkata, langkah segera telah diambil menerusi penubuhan pasukan petugas khas bagi menyiasat secara menyeluruh punca kejadian terbabit.
Beliau pada masa sama menegaskan sokongan kerajaan terhadap Prasarana akan diteruskan dan Kementerian Pengangkutan sentiasa memberikan bantuan yang diperlukan sebelum ini.
“Memang sokongan kita kepada Prasarana berterusan. Apa sahaja sokongan diberikan Kementerian Pengangkutan memang telah dilakukan selama ini.
“Tetapi, insiden seperti ini berlaku memang sesuatu yang mendukacitakan dan kita akan ambil apa-apa tindakan yang perlu untuk memastikan keadaan itu selamat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















