Presiden Persatuan Dinamik Sinar Kasih (DSK), Datuk N Sivakumar.

KUALA LUMPUR – Pemimpin politik diingatkan supaya memberi tumpuan kepada usaha membantu rakyat dan memulihkan ekonomi negara berbanding terus terlibat dalam percaturan politik yang boleh menjejaskan kestabilan negara.

Presiden Persatuan Dinamik Sinar Kasih, Datuk N. Sivakumar berkata, rakyat ketika ini lebih memerlukan penyelesaian terhadap pelbagai tekanan kehidupan berbanding disajikan dengan polemik politik yang berpanjangan.

“Rakyat hari ini sedang bergelut dengan kos sara hidup yang tinggi, pendapatan yang tidak menentu serta kenaikan harga barang keperluan.

“Ada yang bekerja siang dan malam untuk menyara keluarga, manakala peniaga kecil pula sedang berusaha keras untuk terus bertahan dalam keadaan ekonomi yang mencabar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sivakumar berkata, dalam keadaan rakyat memerlukan kestabilan dan bantuan yang nyata, semua pihak seharusnya meletakkan kepentingan rakyat mengatasi kepentingan politik.

Beliau berkata, rakyat semakin penat melihat konflik politik yang berlarutan sedangkan kehidupan harian mereka semakin sukar.

“Rakyat mahukan pemimpin yang mendengar masalah mereka, memahami kesusahan yang dihadapi dan berusaha mencari jalan untuk memperbaiki kehidupan masyarakat.

“Jika mahu menguji kekuatan politik masing-masing, akan ada masanya. Namun ketika ini, cabaran sebenar adalah bagaimana kita dapat bekerja lebih keras demi rakyat dan negara,” tegasnya.

Beliau turut menegaskan tumpuan utama semua pihak ketika ini seharusnya menjurus kepada usaha memperkukuhkan ekonomi, membantu golongan yang memerlukan serta memastikan kestabilan negara terus terpelihara.

“Sudah tiba masanya semua pihak memberi keutamaan kepada perpaduan, pemulihan ekonomi dan kebajikan masyarakat, bukannya terus mencetuskan ketidakstabilan politik yang hanya merugikan rakyat.

“Kesusahan dan suara rakyat mesti sentiasa menjadi keutamaan,” tegasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast