Datuk Seri R Ramanan pada sidang media ‘Pengumuman Program Fasa 1 Mitra 2026’ di sini hari ini.

KUALA LUMPUR – Kerajaan Madani memperuntuk RM65.5 juta bagi melaksanakan enam inisiatif baharu menerusi Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) tahun ini dalam usaha memperkukuh pembangunan sosioekonomi masyarakat India khususnya golongan B40 dan M40.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, inisiatif berkenaan merangkumi aspek pendidikan, keusahawanan, pembangunan komuniti, kesihatan dan bantuan sosial bagi memastikan lebih ramai masyarakat India mendapat manfaat secara langsung.

Menurutnya, pelaksanaan program terbabit membuktikan komitmen berterusan Kerajaan Madani dalam memperkasakan komuniti India melalui pendekatan yang lebih tersusun, inklusif dan berimpak tinggi.

“Kerajaan bukan sahaja mahu menyediakan bantuan jangka pendek tetapi membina asas yang lebih kukuh untuk meningkatkan taraf hidup, memperluaskan peluang ekonomi serta memperkasakan pembangunan modal insan masyarakat India.

“Semua program yang diumumkan ini disasarkan kepada kumpulan yang benar-benar memerlukan dan akan dipantau secara berkala bagi memastikan keberkesanan serta ketelusan pelaksanaannya,” katanya dalam sidang media ‘Pengumuman Program Fasa 1 MITRA 2026’ di sini hari ini.

Ramanan berkata, MITRA kini diperkukuh sebagai sebuah jabatan di bawah Kementerian Kesuma selepas mendapat kelulusan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) membolehkan pelaksanaan program pembangunan komuniti dilakukan dengan lebih sistematik dan berkesan.

Bagi sektor pendidikan, beliau berkata, Program Subsidi Pendidikan Awal Untuk Kanak-Kanak India (CELIK Madani) diperkenalkan dengan peruntukan RM10 juta untuk membantu 4,000 kanak-kanak daripada keluarga B40.

Katanya, program itu menyediakan subsidi yuran tadika serta sarapan pagi bernilai sehingga RM2,530 setahun bagi setiap kanak-kanak.

Selain itu, MITRA turut membuka Request for Proposal (RFP) bagi Program Tuisyen Madani (KALVI Madani) untuk pelajar SPM dan STPM daripada keluarga B40 dengan peruntukan RM5 juta yang dijangka memanfaatkan 5,000 pelajar.

“Permohonan akan dibuka mulai 5 Jun ini dan melibatkan pusat tuisyen berdaftar yang menawarkan mata pelajaran teras seperti Bahasa Melayu, Bahasa Tamil, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sejarah,” ujarnya.

Dalam aspek keusahawanan, Ramanan berkata, Program Bantuan Geran Startup Accelerator (UYARVU Madani) akan menyediakan bantuan sehingga RM50,000 secara berfasa kepada usahawan India kategori B40 dan M40.

Beliau berkata, seramai 500 usahawan dijangka menerima manfaat menerusi program itu yang melibatkan pelbagai sektor termasuk makanan dan minuman, e-dagang, automotif, teknologi digital, pertanian serta perkhidmatan komuniti.

Pada masa sama, MITRA akan melaksanakan Program Madani Rakyat Komuniti India dengan kerjasama Pusat Khidmat Rakyat Ahli Parlimen Kerajaan membabitkan 38 daerah di sembilan negeri yang mempunyai kepadatan penduduk India yang tinggi.

Katanya, setiap pusat khidmat yang terlibat akan menerima dana RM150,000 bagi melaksanakan program berkaitan pendidikan, keusahawanan, pembangunan sosial dan kesihatan dengan jumlah keseluruhan peruntukan RM12 juta.

Dalam sektor kesihatan pula, kerajaan memperkenalkan Program Subsidi Bantuan Dialisis (AROGYA Madani) dengan peruntukan RM6.5 juta bagi membantu pesakit buah pinggang kronik daripada komuniti India kategori B40 dan M40.

“Program ini menyediakan subsidi sehingga RM5,000 setahun bagi setiap pesakit, melibatkan bantuan RM200 bagi setiap sesi dialisis sehingga maksimum 25 sesi,” jelasnya.

Ramanan berkata, kerajaan turut memperkenalkan Program Bantuan Individu Madani (THUNAI Madani) dengan kerjasama Yayasan Kebajikan Negara (YKN) bagi membantu individu dan keluarga masyarakat India B40 yang memerlukan bantuan kewangan dan sokongan kebajikan.

Menurutnya, bantuan sehingga RM5,000 akan disalurkan berdasarkan penilaian kes demi kes dengan permohonan dibuka mulai 5 Jun depan.

Beliau berkata, MITRA juga dijangka mengumumkan beberapa inisiatif tambahan bulan depan, termasuk program berkaitan pendidikan tinggi dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi memperkukuh agenda pembangunan masyarakat India di negara ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast