KUALA LUMPUR – Majlis Belia Wilayah Persekutuan (MBWP) menyambut baik pengumuman Kerajaan MADANI berhubung pelaksanaan Dana Pemangkin Generasi MADANI berjumlah RM5 juta.
Presidennya, Khairul Rizam Abu Samah menyifatkan inisiatif itu sebagai langkah penting dalam memperkasa industri kreatif negara serta membuka lebih banyak ruang kepada golongan belia untuk terus berkarya dan berinovasi.
“Inisiatif yang diumumkan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil itu mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan ekosistem kreatif belia yang lebih progresif, inklusif dan berdaya saing,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.
Sebelum ini, peruntukan sebanyak RM5 juta diumumkan Menteri Komunikasi itu bagi memperkukuhkan pembangunan karya kreatif generasi muda sempena Sambutan Hari Belia Negara (HBN) 2026 Peringkat Wilayah Persekutuan, Ahad lalu.
Acara itu berlangsung selama tiga hari bermula 22 hingga 24 Mei menghimpunkan lebih 10,000 pengunjung terdiri daripada golongan belia pelbagai kaum, agama dan latar belakang dalam suasana harmoni serta penuh semangat perpaduan.
Khairul Rizam juga berkata, dana itu bukan sahaja menyediakan sokongan kepada penerbitan karya kreatif seperti tele filem, dokumentari, filem pendek dan animasi, bahkan membuka peluang lebih luas kepada anak muda untuk mengetengahkan bakat serta idea kreatif mereka.
“MBWP melihat inisiatif ini sebagai satu usaha yang amat positif dalam memperkasa generasi muda melalui industri kreatif yang kini semakin berkembang dan mempunyai pengaruh besar dalam masyarakat.
“Dana ini bukan sahaja membantu melahirkan lebih banyak karya berkualiti, malah mampu membentuk kandungan yang membawa mesej perpaduan, integriti dan keharmonian selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI,” katanya.
Menurut Khairul Rizam, usaha itu turut memberi peluang kepada organisasi belia, penggiat seni dan syarikat tempatan untuk menghasilkan kandungan kreatif yang mampu membawa suara serta perspektif anak muda ke peringkat lebih tinggi.
“Penglibatan aktif belia dalam sektor kreatif juga penting dalam membina modal insan berkualiti selain membantu memperkukuh identiti nasional melalui penghasilan kandungan yang mendidik dan berimpak positif kepada masyarakat.
“Golongan belia perlu merebut peluang ini dengan menghasilkan karya yang kreatif, berinformasi dan mencerminkan identiti Malaysia MADANI demi masa depan negara yang lebih bersatu dan harmoni,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















