GUA MUSANG – Seorang pemandu treler berhadapan detik cemas apabila kenderaannya terjatuh ke dalam gaung di Kilometer 90 Jalan Gua Musang-Lojing, dekat sini semalam, dipercayai selepas mengalami masalah brek ketika berhenti untuk melakukan pemeriksaan.
Bagaimanapun, dalam kejadian pada 7.30 pagi itu, lelaki berusia 30 tahun dari Pelabuhan Klang itu terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Sik Choon Foo berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan itu pada kira-kira 10 pagi, selepas dimaklumkan oleh anggota Pondok Polis Lojing.
Beliau berkata siasatan awal mendapati, treler tersebut sedang dalam perjalanan dari arah Gua Musang menuju ke Lojing, sebelum pemandunya menyedari kenderaan itu mengalami masalah brek apabila tiba di lokasi kejadian.
“Susulan itu, pemandu telah memberhentikan treler di bahu kiri jalan untuk membuat pemeriksaan. Bagaimanapun, ketika pemeriksaan, treler itu secara tiba-tiba bergerak menggelongsor ke hadapan sebelum terjatuh ke dalam gaung di sebelah kiri jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kes berkenaan disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
Sehubungan dengan itu, orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat berkaitan diminta menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Gua Musang menerusi nombor 09-9121222 atau pegawai penyiasat Sjn Mazli (019-6156579) bagi membantu siasatan. – BERNAMA
















