Onn Hafiz Ghazi dalam Mesyuarat BN di Pejabat Perhubungan UMNO Johor, Johor Bahru semalam.

JOHOR BAHRU – Spekulasi terbaharu Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dibubarkan bertiup kembali apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menerima notis mesyuarat menghadiri sidang khas DUN pada 22 Jun ini.

Beberapa ADUN Barisan Nasional (BN) ketika ditemui selepas Mesyuarat BN Johor di Ibu Pejabat UMNO Johor di sini semalam mengakui ada menerima notis itu.

Namun, Pengerusi BN negeri, Datuk Onn Hafiz Ghazi ketika ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat tersebut, enggan mengulas ketika ditanya petugas media mengenai sidang DUN Khas itu.

Menteri Besar Johor berkenaan hanya terus berlalu dan tidak mengiyakan atau menafikan soalan wartawan berkenaan notis tersebut.

Sementara itu, ADUN Sri Medan, Datuk Sri Zulkarnain Kamisan mengesahkan sudah menerima notis berkenaan pagi semalam.

“Surat berkenaan memaklumkan Sidang DUN Khas, cuma saya tidak tahu jika ia berkaitan mengenai pembubaran atau sebaliknya.

“Tetapi kalau hendak bubar DUN tak perlu ada Sidang DUN Khas,” katanya ketika ditemui pemberita.

Menurut beliau, berdasarkan pengalaman Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022 lalu, pengumuman pembubaran DUN dibuat terus oleh Menteri Besar Johor.

“Kalau tengok pada PRN 2022, pengumuman pembubaran DUN ketika itu dibuat oleh MB Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad di sini (Pejabat UMNO Johor),” katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda MCA Kebangsaan yang juga ADUN Yong Peng, Ling Tian Soon merangkap Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, mengesahkan menerima notis sama.

Exco Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia negeri yang juga ADUN Paloh, Lee Ting Han turut mengesahkan perkara sama.

Dalam pada itu, ADUN Johor Jaya, Liow Cai Tung yang juga menerima notis berkenaan menyifatkan situasi tersebut dianggap luar biasa memandangkan sidang DUN Johor jarang diadakan secara berturut-turut dalam tempoh dua bulan.

ADUN DAP itu turut mempersoalkan tujuan utama sidang DUN berkenaan dipanggil kerana kesemua 56 ADUN negeri Johor telah bersidang pada awal bulan lalu.

“Tidak pernah ada sidang dewan berturut-turut dua bulan. Kali ini, hanya ‘satu hari’. Tidak ada sesi soal Jawab.

“Sebenarnya, Dewan boleh dibubarkan tanpa memanggil sidang. Kalau bukan untuk bubar DUN Johor, jadi, apakah agenda sidang Dewan kali ini. Let’s guess and see,” katanya dalam Facebook miliknya.

PRN Johor terus menjadi perhatian selepas tersebarnya mesej berhubung sidang DUN khas pada 24 Jun ini yang didakwa akan berlakunya pembubaran DUN Johor.

PRN Johor ketika ini masih dalam tempoh matang dan dijangka berakhir pada April 2027.

Pada PRN Johor yang lalu, BN memperoleh majoriti dua pertiga dengan memenangi 40 daripada 56 kerusi, diikuti Pakatan Harapan (12), Perikatan Nasional (tiga) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) (satu). – MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast