Petugas membuat pemeriksaan tren LRT laluan Ampang/ Sri Petaling yang tergelincir semasa melalui suis landasan yang rosak di Stesen Chan Sow Lin menyebabkan gangguan perkhidmatan ketika tinjauan Lensa MalaysiaGazette di Cheras, Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 28 MEI 2026.

KUALA LUMPUR – Operasi mengangkat gerabak tren yang tergelincir di Stesen Chan Sow Lin akan dilaksanakan selepas tamat waktu operasi perkhidmatan malam ini sebagai sebahagian daripada usaha pemulihan menyeluruh bagi mengembalikan operasi Laluan Ampang/Sri Petaling yang terjejas dengan selamat dan lancar.

Rapid Rail dalam kenyataan memaklumkan, operasi tersebut akan dikendalikan oleh pasukan teknikal dan kejuruteraan di lokasi kejadian dengan melibatkan proses teknikal yang kompleks, termasuk penggunaan kren khas untuk mengangkat gerabak berkenaan.

Menurut kenyataan itu, keadaan cuaca semasa termasuk hujan lebat serta permukaan kerja yang basah turut menjadi cabaran kepada pasukan teknikal dan berpotensi mempengaruhi tempoh pemulihan di lokasi kejadian.

“Persediaan hoist kren dijadualkan lewat petang ini, manakala operasi mengangkat gerabak dijangka dilaksanakan sekitar jam 12 tengah malam,” katanya hari ini.

Rapid Rail bersama pasukan teknikal serta kontraktor berkaitan kini terus berada di lokasi bagi mempercepatkan usaha membaik pulih dan mengembalikan operasi perkhidmatan Laluan Ampang/Sri Petaling.

Dalam masa sama, perkhidmatan tren alternatif dan bas perantara ulang-alik percuma yang diumumkan sebelum ini masih diteruskan bagi membantu pergerakan penumpang sepanjang tempoh gangguan.

Penumpang turut disarankan menggunakan laluan rel alternatif atau mod pengangkutan lain untuk meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing, termasuk melalui Laluan Kelana Jaya, Laluan Putrajaya, Laluan Kajang dan Laluan Monorel KL menerusi stesen pertukaran berhampiran.

Selain itu, anggota Polis Bantuan, petugas stesen dan Rapid Troopers terus ditempatkan di stesen-stesen terlibat bagi membantu mengawal aliran penumpang serta memastikan keselamatan dan kelancaran pergerakan sepanjang tempoh gangguan.

Orang ramai juga disaran mendapatkan maklumat serta perkembangan terkini perkhidmatan menerusi saluran media sosial rasmi Rapid KL dan aplikasi MyRapid PULSE.

Rapid KL pada masa sama merakamkan penghargaan atas kesabaran dan kerjasama penumpang sepanjang tempoh gangguan perkhidmatan tersebut. — MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast