Persatuan Pengusaha Bas Ekspres Malaysia (PBEM)

KUALA LUMPUR – Persatuan Pengusaha Bas Ekspres Malaysia (PBEM) menyifatkan arahan Kementerian Pengangkutan supaya perkhidmatan bas syarikat Aeroline dari Singapura ke Kuala Lumpur beroperasi dari terminal berlesen sebagai keputusan tepat dan wajar.

Pengerusinya, Mohamad Nazri Md Yusof berkata, ia selaras dengan usaha memperkukuhkan ekosistem pengangkutan awam darat negara agar beroperasi mengikut kelas lesen serta fungsi yang telah ditetapkan.

Menurutnya, pendekatan itu penting khususnya dalam memastikan pemisahan yang jelas antara operasi bas ekspres dan bas persiaran berdasarkan peranan serta syarat lesen masing-masing.

Dalam masa sama, ujar beliau, PBEM turut menyokong penuh dasar bahawa semua perkhidmatan bas ekspres hanya dibenarkan mengambil dan menurunkan penumpang di terminal yang telah diwartakan oleh kerajaan.

Tambahnya, pelaksanaan dasar itu bukan sahaja dapat mengelakkan pertindihan fungsi dengan perkhidmatan bas persiaran, malah mampu mengurangkan kekeliruan dalam kalangan pengguna serta menjamin layanan yang adil dan saksama kepada semua pengendali industri, sama ada pengusaha bas ekspres mahupun bas persiaran.

“Sekiranya pengecualian diberikan kepada mana-mana pengendali tertentu, keadaan ini berpotensi mewujudkan ketidakseimbangan dalam industri selain menyukarkan pihak penguat kuasa melaksanakan penguatkuasaan secara berkesan akibat pelaksanaan dasar yang tidak konsisten,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, media melaporkan kerajaan melalui Kementerian Pengangkutan menamatkan moratorium yang diberikan kepada syarikat Aeroline berkuat kuasa pada 13 Mei 2026, bagi tujuan mengambil dan menurunkan penumpang bas ekspres di lokasi selain daripada terminal di Kuala Lumpur.

Ketetapan tersebut dibuat selepas tiga lokasi iaitu 1 Utama, LaLaport dan IOI City Mall dilesenkan secara rasmi sebagai terminal bagi operasi perkhidmatan bas ekspres laluan Singapura–Kuala Lumpur.

Susulan itu, perkhidmatan bas premium Aeroline mengumumkan akan menghentikan operasinya di Kuala Lumpur selepas lebih dua dekad berkhidmat.

Sementara itu, Mohamad Nazri berkata, berhubung cadangan syarikat Aeroline untuk menghentikan perkhidmatan dari Singapura ke Kuala Lumpur, pihaknya yakin pengendali-pengendali bas ekspres sedia ada termasuk ahli-ahli PBEM mempunyai kapasiti dan keupayaan untuk menampung permintaan semasa bagi laluan tersebut.

Malah, ujarnya, ahli-ahli PBEM sentiasa komited untuk menawarkan perkhidmatan yang kompetitif dan berkualiti tinggi, termasuk dari aspek teknologi bas, keselamatan operasi serta tahap keselesaan kepada para penumpang.

“PBEM berpandangan bahawa kerajaan perlu terus tegas dan konsisten dalam melaksanakan dasar serta peraturan yang telah ditetapkan demi memastikan industri pengangkutan awam darat berkembang secara mampan, tersusun dan berdaya saing.

“PBEM akan terus memberikan sokongan sepenuhnya kepada segala usaha kerajaandalam memperkukuhkan sistem pengangkutan awam negara demi kepentingan industri, pengguna serta pembangunan negara secara keseluruhannya,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast