Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seramai 300 individu ditahan termasuk 12 pemimpin dan penganjur utama serta pengikut Ahmadiyah Qadiani yang hadir pada Program Jalsa Salana Wilayah Sabah Ke-32 di Dewan SM Lok Yuk, Likas, Kota Kinabalu, hari ini.

Menurut Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintenden Syed Lot Syed Ab Rahman, operasi serbuan dijalankan susulan aduan awam yang diterima oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) pada Khamis lalu.

Katanya, program itu yang berlangsung dari 29 Mei hingga semalam turut dihadiri kepimpinan tertinggi Jemaah Ahmadiyah Muslim Malaysia (JAMM) dan ahli-ahli dari beberapa daerah di Sabah.

“Hasil semakan mendapati program berkenaan dikaitkan dengan Jemaah Ahmadiyah Qadiani yang telah difatwakan sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam oleh Jawatankuasa Majlis Fatwa Negeri Sabah serta diwartakan pada tahun 2007,” katanya menerusi kenyataan.

Jelasnya, turut dirampas 24 helai banting memaparkan pengasas dan pemimpin tertinggi Jemaah Ahmadiyah Qadiani, kira-kira 200 buah buku dan bahan bacaan berkaitan ajaran tersebut, selain dokumen program, senarai kehadiran, bahan penerbitan serta pelbagai dokumen mempunyai kaitan dengan aktiviti kumpulan berkenaan.

Syed Lot berkata, semua individu yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu bagi tujuan dokumentasi dan siasatan lanjut oleh pihak JHEAINS sebelum dibebaskan dengan jaminan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 52(1), Seksyen 52A dan Seksyen 102 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Sabah 1995.

Beliau menegaskan, individu atau kumpulan yang didapati menyeleweng daripada ajaran Islam tidak akan terlepas daripada tindakan tegas.

Justeru, beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mendapatkan panduan agama daripada sumber yang sahih dan diiktiraf dengan merujuk pihak berkuasa agama sekiranya mempunyai sebarang keraguan berkaitan ajaran atau fahaman agama yang diajar dan disebarkan.

Ajaran Ahmadiah atau Qadiani difatwakan terkeluar daripada ajaran Islam oleh Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan sejak tahun 2004, dan masyarakat diminta menjauhi sebarang bentuk fahaman yang boleh menggugat kesucian akidah.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast