Suspek berusia 39 tahun ditahan polis selepas disyaki mengugut untuk mencederakan isterinya di sebuah hospital di Tawau.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki berusia 39 tahun ditahan polis selepas disyaki mengugut untuk mencederakan isterinya di sebuah hospital, di Tawau.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintenden Wilynton Enchana Watt berkata, ugutan itu diterima mangsa ketika bekerja di hospital berkenaan kerana tidak mematuhi arahan lelaki berkenaan.

Menurut beliau, suspek turut menghantar pesanan suara menerusi aplikasi WhatsApp yang mengandungi ugutan terhadap keselamatan mangsa.

“Mangsa yang bimbang dan takut akan keselamatan dirinya susulan gangguan serta ancaman berulang daripada suspek kemudian membuat laporan polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan laporan itu, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau menahan suspek di sebuah bilik sewa di Jalan Dunlop, Tawau.

Polis turut merampas sebuah telefon bimbit berwarna putih bersama kad SIM yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

“Polis kini merakam percakapan suspek, mangsa dan saksi berkaitan bagi melengkapkan kertas siasatan sebelum tindakan lanjut diambil,” katanya lagi.

Wilynton menasihatkan orang ramai supaya tidak memandang ringan sebarang bentuk ugutan atau ancaman terhadap keselamatan diri dan segera membuat laporan polis bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here