KUALA LUMPUR – Tindakan seorang lelaki memandu secara melawan arus di Kilometer 24 Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) mengakibatkan kemalangan tiga kenderaan kelmarin.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad berkata, kejadian yang berlaku pukul 1.07 tengahari itu telah menyebabkan pemandu berkenaan cedera dan menerima rawatan di hospital.
Katanya, kemalangan itu melibatkan sebuah kereta jenis Honda City yang dipandu lelaki tersebut serta dua lagi kenderaan jenis Perodua Axia dan Honda CR-V.
“Siasatan awal mendapati Honda City terbabit dipandu secara melawan arus sebelum bertembung dengan kedua-dua kenderaan yang datang dari arah Sunway menuju ke Puchong.
“Akibat kejadian itu, pemandu Honda City mengalami kecederaan dan sedang menerima rawatan di hospital. Sampel darah turut diambil untuk dihantar ke Jabatan Kimia bagi tujuan analisis,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, kedua-dua pemandu Perodua Axia dan Honda CR-V bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan tersebut diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang di talian 03-8074 2222. – MalaysiaGazette
















