KUALA LUMPUR – Ahli perniagaan, Albert Tei Jiann Cheing meluahkan rasa sedih dan kecewa susulan penamatan tayangan filem Konspirasi selepas hanya tujuh hari ditayangkan di pawagam seluruh negara.
Beliau turut mempersoalkan ketiadaan penjelasan rasmi daripada pihak penerbit mahupun agensi kerajaan yang berkaitan.
Menurutnya, filem yang mula ditayangkan pada 21 Mei lalu itu dihentikan tayangan secara serta-merta pada 28 Mei, sekali gus menimbulkan pelbagai persoalan mengenai punca sebenar keputusan tersebut.
“Sehingga kini tiada penjelasan yang jelas diberikan kepada orang ramai berhubung penamatan tayangan filem berkenaan,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.
Albert turut mengimbau kehadiran bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki bersama barisan pegawai kanan agensi itu pada tayangan perdana filem Konspirasi di TGV Alamanda, Putrajaya pada 10 Mei lalu.
Katanya, pada majlis tersebut Azam dilaporkan menyatakan keyakinan bahawa filem itu mampu meningkatkan kefahaman dan keyakinan masyarakat terhadap peranan SPRM, selain memberi gambaran lebih dekat mengenai cabaran, ancaman, tekanan serta keteguhan prinsip pegawai SPRM dalam melaksanakan amanah kepada negara.
“Jika benar seperti yang dinyatakan, mengapa filem itu ditamatkan tayangan selepas hanya tujuh hari? Keadaan ini menimbulkan persoalan dan dilihat bercanggah dengan kenyataan yang dibuat sebelum ini,” katanya.
Menurut Albert, penerbitan filem Konspirasi dipercayai merupakan sebahagian daripada strategi perhubungan awam SPRM untuk meningkatkan kesedaran masyarakat, memperbaiki persepsi awam serta mempamerkan ketelusan agensi berkenaan dalam menjalankan tugas.

Bagaimanapun, beliau berpendapat penamatan awal tayangan filem tersebut telah mencetuskan lebih banyak persoalan dan kontroversi yang boleh memberi kesan terhadap reputasi SPRM.
Dalam pada itu, Albert mendakwa meskipun Azam telah menamatkan perkhidmatannya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM, beberapa isu yang ditinggalkan masih memberi kesan kepada imej agensi berkenaan.
“Perkara ini telah menimbulkan persepsi negatif dan menjejaskan keyakinan masyarakat terhadap SPRM,” katanya. – MalaysiaGazette
















