Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menzahirkan ucapan tahniah dan penghargaan kepada Lembaga Tabung Haji (TH) atas kejayaan cemerlang menerima Labaytum Diamond Award bagi musim haji 1447H/2026M daripada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi. Gambar: Facebook: Royal Selangor Office.

KUALA LUMPUR – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menzahirkan ucapan tahniah dan penghargaan kepada Lembaga Tabung Haji (TH) atas kejayaan cemerlang menerima Labaytum Diamond Award bagi musim haji 1447H/2026M.

Penghargaan berkenaan diterima daripada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi, sekali gus mengekalkan pengiktirafan berprestij itu untuk dua tahun berturut-turut.

Baginda menyifatkan, Labaytum Diamond Award yang diterima buat kali kelima itu sebagai bukti jelas kecekapan, profesionalisme serta komitmen tinggi seluruh warga TH dalam mengurus dan menyelaras operasi haji Malaysia di Makkah Al-Mukarramah dan Madinah Al-Munawwarah.

Menurut Baginda, kejayaan tersebut bukan sahaja membanggakan institusi TH, malah turut mengharumkan nama Malaysia serta memperkukuhkan reputasi negara sebagai antara peneraju pengurusan ibadah haji yang sistematik, cekap dan berteraskan prinsip syariah.

Sultan Sharafuddin bertitah, pengalaman peribadi Baginda yang pernah menunaikan ibadah haji sebanyak dua kali dan beberapa kali mengerjakan umrah melalui bimbingan TH membolehkan Baginda menilai sendiri mutu perkhidmatan yang disediakan.

“Perkhidmatan, kebajikan dan pengurusan yang diberikan oleh Tabung Haji adalah amat baik, tersusun serta sentiasa mengutamakan keselesaan dan keselamatan para jemaah,” titah baginda.

Dalam pada itu, baginda turut mengimbas sejarah penubuhan TH yang dicetuskan oleh Allahyarham Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid pada tahun 1959 menerusi idea mewujudkan model simpanan dan pelaburan patuh syariah bagi membantu umat Islam menyimpan wang untuk menunaikan haji secara terancang.

Menurut baginda, visi jauh tokoh ilmuwan dan ekonomis negara itu terbukti berjaya membantu jutaan umat Islam di negara ini menunaikan Rukun Islam kelima tanpa perlu menjual aset atau berhutang.

Sultan Sharafuddin turut merakamkan penghargaan kepada jemaah haji Malaysia yang sentiasa mempamerkan disiplin, adab dan akhlak tinggi sepanjang berada di Tanah Suci.

Baginda bertitah, sikap tertib, kerjasama yang baik serta kepatuhan terhadap peraturan yang ditunjukkan oleh jemaah Malaysia sering menjadi contoh dan menerima pujian daripada pihak berkuasa Arab Saudi serta jemaah antarabangsa dari pelbagai negara.

Pada masa sama, baginda percaya kecemerlangan yang dicapai pada musim haji tahun ini adalah hasil kerjasama erat antara pihak pengurusan TH, khususnya Pengerusinya, Tan Sri Abdul Rashid Hussain, petugas haji serta para jemaah yang sentiasa mengutamakan semangat kebersamaan dan menjaga nama baik negara.

Baginda turut menzahirkan keyakinan bahawa TH akan terus mengekalkan kecemerlangan serta berusaha menambah baik operasi dan mutu perkhidmatannya dari semasa ke semasa.

Baginda berharap institusi itu akan terus menjadi kebanggaan negara dan kekal komited dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada para Dhuyufurrahman demi kemaslahatan ummah serta kesejahteraan umat Islam seluruhnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast