Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan

KUALA LUMPUR – Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan menubuhkan Majlis Penerbitan Buku-Buku Agama Malaysia dengan menggabungkan penerbit dan agensi berkaitan bagi memperkasa industri penerbitan karya-karya agama di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, ia susulan perkembangan positif industri penerbitan agama yang menyaksikan semakin banyak karya berkualiti dihasilkan.

Menurut beliau, agensi-agensi di bawah portfolio Hal Ehwal Agama juga kini giat menerbitkan pelbagai buku dan bahan ilmiah berkualiti tinggi yang mendapat sambutan masyarakat.

“Sekarang ini kita melihat kemunculan dan penghasilan karya-karya agama yang semakin baik dan semakin banyak. Agensi Hal Ehwal Agama juga menerbitkan banyak karya berkualiti tinggi.

“Justeru, kita ingin mewujudkan satu badan atau majlis yang dapat menggabungkan penerbit-penerbit ini supaya mereka dapat berbincang, bekerjasama dan mencetuskan gelombang baharu dalam penerbitan buku-buku agama yang lebih berimpak tinggi,” katanya pada Majlis Perasmian Pavilion Baitul Hikmah Madani dan Peluncuran Buku Baharu Agensi-Agensi di Bawah Menteri Agama di sini hari ini.

Melalui majlis yang sama, Zulkifli berkata, pihaknya dapat merancang penerbitan berdasarkan permintaan dan keperluan sebenar, sekali gus mengelakkan pertindihan penerbitan serta memastikan buku-buku agama yang dihasilkan dapat memenuhi keperluan umat.

“Dalam masa yang sama, saya juga berhasrat supaya karya-karya terbitan negara dapat dipasarkan dan dieksport ke peringkat antarabangsa termasuk di rantau Asia Tenggara serta negara-negara lain,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Zulkifli berkata, kerajaan sentiasa berusaha memastikan kos haji untuk jemaah Malaysia kekal pada kadar terbaik meskipun berdepan peningkatan kos operasi dan inflasi global.

“Kita sentiasa berusaha untuk memastikan kos itu adalah kos yang terbaik kepada jemaah haji Malaysia. Kita sudah dapat mengekalkan kos tersebut selama tiga tahun berturut-turut walaupun berlaku inflasi dan peningkatan kos.

“Namun, kita masih meneliti pelbagai faktor semasa dan akan berusaha sedaya upaya untuk memastikan kebajikan jemaah terus terpelihara,” katanya – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast