PETALING JAYA – Parti Keadilan Rakyat (Keadilan) mempertahankan tindakan menyekat akses portal MyKhas kepada Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung dan Ahli Parlimen Subang, Wong Chen sambil menegaskan langkah itu bukan hukuman politik.
Sebaliknya, langkah itu adalah akibat daripada pendirian serta tindakan kedua-dua wakil rakyat berkenaan yang didakwa memilih untuk bersama gerakan politik yang menentang kerajaan.
Timbalan Setiausaha Agung Keadilan, Bryan Ng Yih Miin berkata, kebajikan rakyat di kedua-dua kawasan Parlimen itu tetap akan dipelihara kerana semua bantuan, projek pembangunan dan dana masyarakat akan terus disalurkan melalui saluran rasmi kerajaan serta penyelaras kawasan yang dilantik.
Menurut beliau, cubaan menggambarkan Chean Chung dan Wong Chen sebagai mangsa penganiayaan politik adalah tidak tepat kerana sekatan tersebut hanya melibatkan akses pentadbiran kepada Ahli Parlimen dan bukannya menjejaskan hak rakyat untuk menerima bantuan kerajaan.
“Peruntukan kawasan Parlimen adalah hak rakyat dan wang pembayar cukai. Ia bukan tabung peribadi mana-mana Ahli Parlimen yang boleh digunakan sesuka hati atau dijadikan instrumen untuk mengukuhkan agenda politik sendiri.
“Penduduk Petaling Jaya dan Subang tidak akan kehilangan bantuan kebajikan, dana sekolah, sokongan kepada NGO atau projek pembangunan komuniti. Semua itu akan diteruskan seperti biasa melalui mekanisme kerajaan yang sah,” katanya dalam kenyataan pagi ini.
Bryan yang juga Pengerusi Biro Undang-undang dan Aduan Keadilan Selangor berkata, kedua-dua Ahli Parlimen berkenaan tidak boleh menuntut keistimewaan disediakan kerajaan sedangkan pada masa sama mereka dilihat semakin menjauhkan diri daripada parti dan gabungan yang membawa mereka ke Parlimen.
Beliau mendakwa tindakan Chean Ching dan Wong Chen menghadiri pelancaran Parti Bersama Malaysia (Bersama) yang diterajui Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad pada 17 Mei lalu merupakan isyarat jelas mengenai hala tuju politik mereka.
Menurutnya, Wong Chen malah secara terbuka menyatakan hasrat untuk bertanding pada pilihan raya akan datang di bawah platform politik baharu tersebut.
“Apabila seseorang wakil rakyat memilih untuk bersama sebuah gerakan politik yang ditubuhkan bagi mencabar dan menentang kerajaan sedia ada, adalah tidak munasabah untuk mereka terus menuntut akses kepada dana serta kemudahan yang disediakan oleh kerajaan itu.
“Tidak mungkin sebuah kerajaan membiayai individu yang secara terbuka sedang membina kekuatan politik untuk menumbangkannya pada pilihan raya akan datang,” tegasnya.
Tegas beliau, tindakan pentadbiran itu juga perlu dilihat dalam konteks menjaga integriti penggunaan dana awam dan bukannya sebagai satu bentuk dendam politik.
Katanya, kerajaan mempunyai tanggungjawab memastikan setiap peruntukan yang disalurkan benar-benar digunakan untuk manfaat rakyat dan tidak disalahgunakan bagi tujuan membina pengaruh politik atau menggerakkan jentera parti baharu.
“Apabila terdapat tanda-tanda jelas seseorang wakil rakyat telah beralih arah sebelum tamat penggal, kerajaan berhak mengambil langkah institusi bagi memastikan dana awam diuruskan melalui saluran yang lebih bertanggungjawab.
“Ini bukan soal menghukum sesiapa. Ini soal memastikan wang rakyat tidak digunakan untuk membiayai gerak kerja politik pihak yang sedang membina parti lawan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Bryan turut mengingatkan kemenangan kedua-dua wakil rakyat itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 bukanlah hasil usaha individu semata-mata, sebaliknya disumbangkan oleh jentera parti, sukarelawan dan pengundi yang memberi mandat kepada Pakatan Harapan (PH).
Beliau berkata, Chean Chung yang sebelum ini merupakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Pahang tidak akan dapat menawan kerusi Petaling Jaya tanpa sokongan kuat jentera parti tempatan yang bekerja keras sepanjang kempen pilihan raya.
“Ramai ahli dan sukarelawan turun padang, mengetuk pintu rumah pengundi, memasang bendera dan menjaga saluran mengundi demi memastikan kemenangan calon parti.
“Justeru, apabila seseorang wakil rakyat memilih untuk membelakangkan parti yang memberinya platform kemenangan, ahli akar umbi berhak berasa kecewa dan dikhianati,” jelasnya.
Bryan turut menyentuh tindakan Wong Chen yang sebelum ini mengkritik kerajaan susulan keputusan Kementerian Kewangan menamatkan kontraknya sebagai Pengerusi Malaysia Debt Ventures (MDV).
Menurutnya, Wong Chen tidak boleh mengambil pendirian sebagai pengkritik kerajaan dalam pelbagai isu, tetapi pada masa sama terus menuntut kemudahan dan keistimewaan yang disediakan oleh kerajaan.
“Tidak boleh mahu dilihat sebagai pejuang pembangkang dalam kerajaan apabila ia menguntungkan dari segi politik, tetapi pada masa yang sama mahu menikmati segala kelebihan yang datang bersama kedudukan dalam kerajaan.
“Prinsip dan akauntabiliti mesti berjalan seiring,” katanya.
Beliau menegaskan kerajaan tidak pernah mengabaikan rakyat Petaling Jaya dan Subang, malah kepentingan penduduk kedua-dua kawasan itu akan terus diberikan perhatian melalui mekanisme yang ditetapkan.
“Kebajikan rakyat akan terus dijaga. Projek pembangunan akan diteruskan. Bantuan masyarakat akan terus disalurkan.
“Yang terganggu ketika ini bukan hak rakyat, tetapi percaturan politik individu yang memilih haluan berbeza daripada mandat yang diberikan oleh pengundi pada PRU-15,” tambahnya. -MalaysiaGazette
















