MELAKA – Akibat mengugut untuk mencincang ibu saudaranya bulan lalu, seorang nelayan dijatuhi hukuman penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini hari ini.
Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman memutuskan hukuman itu terhadap Mohamad Yusri Yahaya, 57, yang menukar pengakuan kepada bersalah pada sebutan kes berkenaan hari ini.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa dengan sengaja menakutkan secara jenayah kepada ibu saudaranya, berusia 73 tahun dengan ugutan mahu mencincang dengan cara membunuhnya.
Perbuatan itu dilakukan di Batu 9 Pantai Kundur, Tanjung Keling, di sini, kira-kira 10 pagi 4 Mei lalu yang menjadi kesalahan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
Kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai tujuh tahun atau denda atau dengan kedua-duanya, jika disabitkan.
Mengikut fakta kes, tertuduh dikatakan tidak berpuas hati ditegur oleh ibu saudaranya kerana terbabit penyalahgunaan dadah lalu datang ke rumah warga emas itu dengan membawa sebatang besi serta mengugut untuk mencincang dan membunuhnya.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Syaza Nur Sharif memohon hukuman setimpal terhadap tertuduh yang diwakili peguam Muhammad Izzuddin Ab Malek dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Peguam merayu penjara paling minimun dengan alasan tertuduh seorang duda anak tiga yang hanya bekerja sebagai nelayan berpendapatan kira-kira RM1,000 sebulan selain berjanji tidak akan mengulanginya lagi.
Majistret Sharda kemudian menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan bermula daripada tarikh ditangkap pada 4 Mei lalu. – MalaysiaGazette
















