SEREMBAN – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menghalang Sidang Khas Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan (DKU) daripada diteruskan serta mengekalkan Raja Norazli Raja Nordin sebagai Setiausaha DKU sehingga tindakan undang-undang berkaitan perkara itu diputuskan.
Keputusan itu dibuat selepas Hakim Roz Mawar Rozain membenarkan permohonan injunksi ad interim yang difailkan Raja Norazli bersama DKU bagi mengekalkan status quo pentadbiran badan berkenaan.
Peguam kanan, Steven Thiru yang mewakili Raja Norazli dan DKU mengesahkan mahkamah turut melarang sebarang usaha untuk menggantung, menyingkirkan atau menggantikan anak guamnya daripada jawatan yang disandang ketika ini.
Menurut beliau, perintah sementara itu juga menghalang plaintif daripada memanggil atau mengadakan sebarang mesyuarat DKU termasuk Sidang Khas yang dijadual berlangsung hari ini.
Mahkamah turut memerintahkan supaya tiada mana-mana jawatankuasa, individu atau badan lain ditubuhkan bagi mengambil alih fungsi dan bidang kuasa Setiausaha DKU.
Selain itu, plaintif dilarang membuat atau melaksanakan sebarang keputusan berkaitan pentadbiran, tadbir urus dan prosiding DKU yang boleh mengubah kedudukan sedia ada sebelum 21 Mei lalu.
Plaintif dalam kes tersebut ialah bekas Undang Luak Sungai Ujong, Datuk Mubarak Thahak; Undang Luak Jelebu, Datuk Maarof Mat Rashad; Undang Luak Johol, Datuk Muhammed Abdullah; Undang Luak Rembau, Datuk Abdul Rahim Yasin; Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri; dan Shahbandar Sungai Ujong, Datuk Seri Badarudin Abdul Khalid.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan, injunksi itu akan terus berkuat kuasa sehingga mahkamah mendengar dan memutuskan isu bidang kuasa serta kebolehbicaraan kes berkenaan sebelum sebarang perintah lanjut dibuat.
Kenyataan sama menjelaskan perintah tersebut secara efektif menghalang sebarang tindakan untuk menyingkirkan Raja Norazli daripada jawatannya selain membekukan sebarang langkah yang boleh mengubah struktur pentadbiran DKU buat masa ini.
Raja Norazli dan DKU diwakili Steven Thiru, David Dinesh Mathew, Shafrin Halim, Gregory Das dan Gurjeevan Singh, manakala plaintif diwakili Awang Armadajaya, Datuk Rhiza Ghazi serta Asmawi Ismail.
Defendan ketiga pula diwakili Penasihat Undang-Undang Negeri, Datuk Muzalmah Mustapha Kamal bersama Aala’uddin Baharom. -MalaysiaGazette
















