KUALA LUMPUR – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengesahkan bahawa seluruh anggota MALBATT 850-13 yang sedang bertugas di selatan Lubnan berada dalam keadaan selamat dan tidak terjejas, susulan insiden bedilan mortar di kawasan UNP 7-2 (SPANBATT) Sektor Timur jam 11.20 malam kelmarin, waktu tempatan.
ATM memaklumkan, insiden itu telah mengakibatkan tiga anggota pengaman Spanish Battalion (SPANBATT) cedera, dengan salah seorang daripadanya disahkan terkorban pada pagi semalam.
Menurutnya, ATM merakamkan ucapan takziah kepada keluarga perwira SPANBATT yang gugur dan mendoakan kesembuhan segera buat anggota yang tercedera.
“ATM menegaskan pendirian mutlak bahawa sebarang bentuk serangan, termasuk tembakan tidak langsung (indirect fire) ke atas pasukan pengaman, adalah satu pencabulan serius terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan Resolusi 1701 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, sebagai tindak balas taktikal terhadap perkembangan ini, profil keselamatan dan perlindungan pangkalan bagi kontinjen MALBATT 850-13 telah ditingkatkan serta-merta ke tahap amaran tertinggi (Status Level Red).
Ujarnya, seluruh pergerakan rondaan telah digantung sementara waktu, dengan pasukan kini beroperasi di bawah prosedur operasi standard (SOP) dan rules of engagement (ROE) pertahanan yang paling ketat seperti yang digariskan oleh Markas UNIFIL.
“ATM, melalui Markas Angkatan Bersama (MK AB), memantau situasi operasi secara berterusan bagi menjamin tahap keselamatan tertinggi buat setiap perajurit negara yang sedang menggalas mandat di zon konflik,” katanya. – MalaysiaGazette
















