Chang Lih Kang menurunkan tandatangan sebagai simbolik Majlis Perasmian Bangunan Tambahan Kimia Johor di Jabatan Kimia Negeri Johor, Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) akan terus mempergiat usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) berorientasikan misi bagi memperkukuh teknologi negara.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Chang Lih Kang berkata, ini juga bertujuan mengurangkan kebergantungan kepada bekalan dan teknologi luar susulan ketidaktentuan global.

Menurutnya, pengalaman berdepan pandemik Covid-19 dan krisis tenaga dunia menjadi pengajaran penting bahawa Malaysia perlu membangunkan keupayaan teknologi sendiri bagi menjamin keselamatan serta daya tahan negara.

“Ketika pandemik Covid-19, Malaysia terpaksa bergantung kepada negara yang mempunyai kemampuan menghasilkan vaksin manusia, sekali gus menyebabkan negara perlu menerima syarat bekalan dan harga yang ditetapkan oleh pihak luar.

“Situasi itu menunjukkan pentingnya kita memberi penekanan kepada R&D supaya negara tidak bergantung sepenuhnya kepada teknologi dan kepakaran negara lain,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Bangunan Tambahan Jabatan Kimia Malaysia (Kimia) Johor di Jabatan Kimia Negeri Johor, di sini hari ini.

Menurut Lih Kang, perkara itu turut dibincangkan dalam mesyuarat mingguan Majlis Sains Negara yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dengan fokus diberikan kepada pembangunan keupayaan dalam sektor strategik bagi menghadapi impak krisis bekalan global.

Beliau berkata, konflik dan krisis di Asia Barat turut memberi kesedaran kepada negara mengenai kepentingan membangunkan teknologi sendiri, khususnya dalam bidang peralihan tenaga dan keselamatan bekalan.

Mengulas kebimbangan mengenai kemungkinan kekurangan bekalan tenaga dalam masa terdekat, beliau berkata, Malaysia masih berada dalam keadaan stabil kerana memiliki sumber minyak dan gas sendiri yang mencukupi.

Beliau menjelaskan, kira-kira 80 peratus bekalan gas asli bagi penjanaan tenaga negara diperoleh daripada sumber domestik, manakala hanya sekitar 20 peratus bergantung kepada bekalan luar yang datang daripada pelbagai negara.

Sehubungan itu, beliau berkata, orang ramai tidak perlu terlalu bimbang terhadap isu bekalan tenaga ketika ini.

Walaupun begitu katanya, usaha memperkukuh aktiviti penyelidikan dan pembangunan terutama dalam bidang transisi tenaga perlu terus dipertingkatkan bagi memastikan negara lebih bersedia menghadapi cabaran global pada masa hadapan.- MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast