Poster pelancaran di Batu Pahat malam ini.

BATU PAHAT – Di sebalik ‘Pelancaran Jentera Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH)’ yang akan disempurnakan Perdana Menteri merangkap Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim malam ini, pemilihan Batu Pahat sebagai lokasi perhimpunan terbesar Parti Keadilan Rakyat (PKR) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dilihat mempunyai mesej politik tersendiri.

Selain menjadi lokasi pelancaran jentera PH, Batu Pahat hari ini turut menjadi tuan rumah kepada Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR yang berlangsung secara tertutup dengan tumpuan dipercayai terarah kepada persiapan akhir menghadapi PRN Johor termasuk memuktamadkan beberapa calon yang bakal diketengahkan.

Sumber parti memberitahu MalaysiaGazette, mesyuarat berkenaan dijangka menjadi antara pertemuan paling penting sebelum pengumuman calon dibuat dalam masa terdekat.

Menurutnya, pemilihan Batu Pahat bukan sekadar faktor logistik, sebaliknya mempunyai nilai strategik dan simbolik tersendiri kepada kepimpinan parti.

“Ramai bertanya kenapa Batu Pahat dipilih sedangkan pelancaran jentera boleh dibuat di kawasan lain.

“Apabila seluruh kepimpinan tertinggi parti berkumpul di Batu Pahat untuk mesyuarat MPP dan pelancaran jentera pada hari yang sama, sudah tentu ada mesej politik yang ingin disampaikan,” katanya hari ini.

Pemilihan Batu Pahat turut menarik perhatian pemerhati politik memandangkan kawasan itu diwakili Ahli Parlimen Batu Pahat, Onn Abu Bakar yang sebelum ini dilihat rapat dengan kem bekas Timbalan Presiden Keadilan, Datuk Seri Rafizi Ramli ketika pemilihan parti.

Lebih menarik, perkembangan itu berlaku ketika Rafizi dijadual mengadakan program jelajah bersama parti baharunya, Parti Bersama Malaysia (Bersama), di Danga Bay, Johor Bahru malam ini.

Sebelum ini, Rafizi mengesahkan Bersama akan bertanding pada PRN Johor yang bakal menjadi medan pertama untuk menguji sokongan rakyat terhadap parti baharu tersebut.

Sehubungan itu, Johor kini dilihat menjadi pentas awal persaingan politik antara PH, Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Bersama yang sedang berusaha menempatkan diri dalam landskap politik negara.

Menurut sumber berkenaan, Batu Pahat merupakan antara kawasan paling penting buat Keadilan di Johor kerana ia bukan sahaja dianggap kubu tradisi parti, malah kawasan yang kini diwakili Ahli Parlimen yang sering dikaitkan dengan kem Rafizi.

“Apabila muncul parti baharu yang diterajui bekas pemimpin kanan PKR, sudah tentu kepimpinan pusat mahu memastikan jentera dan akar umbi parti terus kukuh serta bersedia menghadapi pilihan raya.

“Batu Pahat mempunyai nilai simbolik yang besar kepada parti dan sebab itu seluruh perhatian kepimpinan tertumpu di sini hari ini,” ujarnya.

Difahamkan, antara agenda utama MPP ialah memperhalusi strategi pilihan raya, rundingan kerusi serta memuktamadkan senarai calon yang bakal mewakili PKR pada PRN Johor.

Beberapa sumber parti turut memaklumkan keputusan penting berkaitan calon dijangka dicapai dalam mesyuarat berkenaan sebelum diumumkan kepada umum dalam masa terdekat.

Pelancaran jentera PH malam ini pula dijangka menjadi himpunan terbesar PKR di Johor setakat ini apabila pimpinan serta jentera dari seluruh cabang parti di negeri itu berkampung di Batu Pahat bagi menunjukkan kesiapsiagaan menghadapi PRN Johor.

Dengan Batu Pahat menjadi lokasi tumpuan kepimpinan tertinggi PKR dan pada masa sama Johor Bahru menjadi pentas kempen awal Bersama, negeri Johor kini menyaksikan permulaan kepada persaingan politik yang dijangka semakin sengit menjelang hari penamaan calon PRN Johor. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast