Penunggang motosikal warga asing yang ditahan- Foto FB JPJ Negeri Kedah

KUALA LUMPUR – Tiga penunggang motosikal warga asing dikenakan tindakan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Cawangan Kulim dalam operasi penguatkuasaan yang dijalankan di sekitar Sungai Kob dan Jalan Batu Putih.

Dalam pemeriksaan di Taman Mutiara, Sungai Kob, seorang lelaki warga Pakistan didapati melakukan kesalahan gagal memakai topi keledar keselamatan ketika menunggang motosikal.

Bagaimanapun, hasil semakan mendapati lelaki berkenaan memiliki lesen memandu, cukai jalan dan perlindungan insurans yang masih sah.

Menurut JPJ Cawangan Kulim, saman telah dikeluarkan terhadap individu terbabit atas kesalahan berkenaan.

Sementara itu, dua lagi penunggang warga Bangladesh dan Myanmar berketurunan Rohingya yang diperiksa di Jalan Batu Putih didapati melakukan beberapa kesalahan jalan raya.

Kesalahan yang dikesan antaranya tidak memiliki lesen memandu motosikal yang sah, lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh, tiada perlindungan insurans serta kesalahan teknikal kenderaan.

Susulan pelbagai pelanggaran peraturan itu, kedua-dua motosikal berkenaan telah disita bagi tindakan lanjut.

JPJ turut mengeluarkan saman terhadap kedua-dua penunggang terbabit mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

Operasi berkenaan dilaksanakan sebagai sebahagian usaha berterusan JPJ bagi memastikan pematuhan undang-undang jalan raya serta meningkatkan tahap keselamatan pengguna jalan raya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast