Tinjauan MalaysiaGazette mendapati kanak-kanak lelaki bawah umur itu yang menjual kismis sering ditemani ibu kandungnya yang menunggu di luar premis sementara anaknya memasuki kedai bagi menawarkan produk jualan kepada pelanggan.

MELAKA – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka memberi amaran kepada ibu bapa atau penjaga supaya tidak menggunakan kanak-kanak bawah umur untuk aktiviti jualan amal sehingga mendedahkan mereka kepada unsur eksploitasi.

Pengarah JKM Melaka Halyjah Muhamad, berkata pihaknya memandang serius sebarang aduan berkaitan kanak-kanak yang digunakan bagi tujuan itu khususnya pada musim cuti persekolahan di kawasan tumpuan ramai.

Menurut beliau, kanak-kanak sepatutnya berada dalam persekitaran yang selamat serta mendapat perlindungan sewajarnya, bukannya diletakkan dalam situasi yang boleh menjejaskan kebajikan dan perkembangan mereka.

“JKM memberi amaran kepada ibu bapa atau penjaga supaya tidak menjadikan anak-anak sebagai medium untuk menjalankan aktiviti jualan amal atau kutipan sumbangan, lebih-lebih lagi di tempat awam yang sibuk.

“Sekiranya terdapat unsur pengabaian atau eksploitasi yang boleh menjejaskan kebajikan kanak-kanak, tindakan tegas mengikut saluran undang-undang sedia ada akan diambil,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette di sini hari ini.

Pengarah Jabatan Kebajikan Melaka, Halyjah Muhamad

Beliau mengulas tinjauan MalaysiaGazette di sebuah pusat beli belah di Peringgit, di sini semalam yang mendapati seorang kanak-kanak lelaki berusia sekitar tujuh tahun dilihat menjual kismis dari meja ke meja dalam pasar raya itu.

Tinjauan mendapati, kanak-kanak terbabit memasuki premis makanan untuk menawarkan jualan kepada pelanggan, manakala seorang wanita dipercayai berusia lingkungan 30-an yang sihat tubuh badan dilihat memantau dari jauh.

Keadaan itu menimbulkan persoalan sama ada kanak-kanak terbabit digunakan bagi menarik simpati orang ramai untuk meningkatkan jualan atau kutipan sumbangan.

“Susulan aduan diterima, pegawai pelindung JKM telah menjalankan pemerhatian di lokasi berkenaan, namun kanak-kanak yang dilaporkan itu tidak ditemui.

“Bagaimanapun, hasil temu bual dengan orang awam di premis tersebut mendapati kanak-kanak berkenaan dilihat berada di lokasi itu sekitar pukul 2.30 petang semalam dan dipercayai sering hadir hampir setiap hari untuk menjual kismis kepada pengunjung.

“Kanak-kanak itu dikatakan sering ditemani ibu kandungnya yang menunggu di luar premis sementara anaknya memasuki kedai  bagi menawarkan produk jualan kepada pelanggan,” katanya.

Tegas Halyjah, perbuatan itu merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 32 Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) yang melarang eksploitasi kanak-kanak, termasuk menggunakan mereka untuk mengemis, melakukan kerja berbahaya atau bagi tujuan komersial serta keuntungan tidak wajar.

“Jika sabit kesalahan, perbuatan ini walaupun melibatkan ahli keluarga sendiri boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya sekali,” tegasnya.

Halyjah berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat atau mengesyaki berlakunya eksploitasi terhadap kanak-kanak diminta menyalurkan aduan kepada JKM bagi membolehkan siasatan serta tindakan lanjut dijalankan. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast