Datuk Seri Anwar Ibrahim menyerahkan Geran Tahunan RM25 juta kepada Universiti AIMST bagi tahun 2026, selain meluluskan geran khas sekali beri berjumlah RM20 juta kepada Kolej TAFE bagi memperkukuh kemudahan serta pembangunan institusi berkenaan.

BEDONG – Canselor Universiti AIMST, Tan Sri SA Vigneswaran menyifatkan sokongan berterusan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Universiti AIMST dan Kolej TAFE sebagai bukti pendidikan tidak seharusnya dijadikan alat politik atau mangsa perubahan kepimpinan.

Katanya, komitmen kerajaan menyalurkan peruntukan kepada kedua-dua institusi pendidikan itu mencerminkan pendekatan yang meletakkan kepentingan rakyat dan pembangunan modal insan negara mengatasi pertimbangan politik.

“Saya amat berbangga kerana Perdana Menteri memberi komitmen yang tinggi terhadap pembangunan pendidikan masyarakat India.

“Maka, pada kesempatan ini, saya ingin merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri kerana tidak sama sekali mempolitikkan soal peruntukan kepada Universiti AIMST dan Kolej TAFE,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena lawatan rasmi Anwar ke Universiti AIMST di sini hari ini.

Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika melakukan lawatan rasmi ke Universiti AIMST hari ini.

Pada majlis sama, kerajaan menyerahkan Geran Tahunan RM25 juta kepada Universiti AIMST bagi tahun 2026, selain meluluskan geran khas sekali beri berjumlah RM20 juta kepada Kolej TAFE bagi memperkukuh kemudahan serta pembangunan institusi berkenaan.

Menurut Vigneswaran, apa yang lebih penting daripada nilai peruntukan tersebut ialah mesej yang dibawa oleh kerajaan dalam memastikan agenda pendidikan terus diberi keutamaan.

“Apa yang lebih bermakna daripada jumlah peruntukan itu sendiri ialah mesej yang dibawanya.

“Ia mencerminkan satu bentuk kepimpinan yang memahami bahawa pendidikan tidak seharusnya menjadi mangsa kepada perubahan politik dan bahawa dasar yang baik perlu diperkukuh apabila ia memberi manfaat kepada rakyat,” ujarnya.

Beliau berkata, setakat ini Universiti AIMST telah menerima peruntukan keseluruhan RM75 juta di bawah pentadbiran Kerajaan Madani yang disifatkan sebagai pelaburan strategik dalam pembangunan modal insan dan mobiliti sosial generasi muda.

Mengulas mengenai peranan Universiti AIMST, Vigneswaran berkata, institusi pendidikan tinggi yang ditubuhkan menerusi Maju Institute of Educational Development (MIED) itu telah berkembang menjadi sebuah universiti dihormati dengan melahirkan ratusan ribu tenaga profesional dalam pelbagai bidang kritikal.

Katanya, sepanjang lebih 24 tahun penubuhannya, universiti itu berjaya melahirkan doktor, doktor gigi, ahli farmasi, jurutera, saintis dan profesional lain yang kini berkhidmat di Malaysia serta di peringkat antarabangsa.

“Universiti AIMST bermula daripada satu visi yang berani untuk membuka akses pendidikan tinggi kepada lebih ramai rakyat Malaysia.

“Hari ini, kami berbangga kerana graduan kami berkhidmat bukan sahaja di negara ini, malah di seluruh dunia,” katanya bangga.

Pada masa sama, beliau berkata, Kolej TAFE yang turut berada di bawah MIED memainkan peranan besar dalam melahirkan tenaga kerja mahir negara.

Menurutnya, lebih 47,000 graduan telah dilahirkan oleh kolej itu sejak penubuhannya dan ramai daripada mereka kini menyumbang dalam pelbagai sektor ekonomi serta industri strategik negara.

Jelas Presiden MIC itu, peruntukan RM20 juta yang diluluskan kerajaan akan membantu meningkatkan kemudahan serta kapasiti latihan kolej berkenaan supaya terus relevan dengan keperluan industri dan pasaran pekerjaan masa hadapan.

Dalam pada itu, Vigneswaran berkata, Universiti AIMST kekal berpegang kepada prinsip asal penubuhannya iaitu menyediakan pendidikan berkualiti yang boleh diakses oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang ekonomi.

Beliau berkata, walaupun berdepan peningkatan kos operasi dan pembangunan, universiti itu memilih untuk tidak menaikkan yuran pengajian kerana percaya pendidikan tidak seharusnya menjadi beban kepada pelajar.

Menurutnya, sebagai institusi bukan berasaskan keuntungan, Universiti AIMST memberi keutamaan kepada peluang pendidikan dan pembangunan pelajar berbanding keuntungan komersial.

Pada masa sama, beliau turut menegaskan bahawa semua dana kerajaan yang diterima diuruskan secara telus dan mengikut prinsip tadbir urus yang ketat.

“Tiada satu sen pun dana kerajaan disalurkan ke akaun parti.

“Semua ahli lembaga universiti pula berkhidmat secara sukarela tanpa sebarang gaji atau ganjaran dan semua dana yang diterima diurus secara berasingan mengikut prinsip integriti, akauntabiliti dan tadbir urus yang ketat,” tegasnya.

Datuk Seri Anwar Ibrahim bergambar bersama-sama pihak pengurusan Universiti AIMST.

Tambah beliau, sebahagian besar geran yang diterima turut dimanfaatkan dalam bentuk biasiswa kepada pelajar daripada keluarga B40 khususnya dalam bidang perubatan, sains, teknologi dan kejuruteraan.

Katanya, legasi sebenar pelaburan dalam pendidikan tidak diukur berdasarkan jumlah wang yang dibelanjakan, sebaliknya melalui kehidupan yang berjaya diubah, keluarga yang berjaya dibantu dan masa depan yang berjaya dibina menerusi peluang pendidikan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast