Siti Hajar Aflah Sharuddin didakwa membuat hantaran palsu di media sosial melibatkan kes kematian Zara Qairina, di Mahkamah Sepang, Selangor. Foto SADIQ SANI, 21 OGOS 2025 (GAMBAR FAIL)

KUALA LUMPUR – Mahkamah Majistret Sepang, dekat sini menetapkan Khamis dan Jumaat ini bagi menyambung perbicaraan kes guru Bahasa Inggeris yang didakwa menimbulkan kegentaran awam dengan mendakwa Zara Qairina Mahathir dimasukkan ke dalam mesin basuh.

Perbicaraan terhadap Siti Hajar Aflah Sharuddin, 39, dijadual didengar di hadapan Majistret Suriani Ujang.

Hari pertama perbicaraan pada 9 April lalu, mahkamah mendengar keterangan saksi pertama, Inspektor Wong Yew Zhung yang juga pegawai penyiasat kes Zara Qairina bahawa kenyataan guru berkenaan telah mengganggu siasatan kes.

Pegawai polis itu berkata, beliau membuat laporan di Balai Polis Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, Sabah pada 6 Ogos 2025 selepas melihat dua hantaran rakaman video melalui akaun TikTok berkaitan kes kematian Zara Qairina yang sedang dalam siasatan.

Pada prosiding itu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Christopher Enteri dan Nadia Mohd Izhar.

Sementara itu, peguam Mohamad Zaiful Bahrin Kamde yang mewakili Siti Hajar Aflah memohon pihak pendakwaan memaklumkan mengenai bilangan saksi bagi melancarkan urusan mahkamah.

Pada 21 Ogos tahun lalu, Siti Hajar Aflah mengaku tidak bersalah atas pertuduhan membuat kenyataan yang mungkin menimbulkan kegentaran awam di akaun TikTok miliknya “SHA_Abrienda” pada 1.20 petang, 6 Ogos 2025.

Pertuduhan terhadap wanita itu dikemukakan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Media sebelum ini melaporkan pelajar tingkatan satu, Zara Qairina ditemukan tidak sedarkan diri dekat longkang asrama sekolah itu pada 4 pagi, 16 Julai 2025 sebelum disahkan meninggal dunia selepas sehari dimasukkan ke Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast