Tertuduh, Puteri Norfatimah Ishak, 25, didenda RM2,800 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini hari ini selepas mengaku bersalah menyimpan dan menyebarkan video seks bekas suaminya dengan wanita lain, Disember tahun lalu.

MELAKA – Padah menyimpan dan menyebarkan video seks bekas suaminya dengan wanita lain pada Disember lalu, seorang pekerja kilang didenda RM2,800 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini hari ini.

Majistret Nur Afiqah Radhiah Zainurin menjatuhkan hukuman itu selepas menerima pengakuan salah tertuduh, Puteri Norfatimah Ishak, 25, sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah

Mengikut pertuduhan, wanita itu didapati dalam simpanannya video dan gambar lucah dalam sebuah telefon bimbit jenis iPhone 12 Pro Max.

Kesalahan itu dilakukan di tepi jalan Jalan Ayer Keroh Lama dalam daerah Melaka Tengah, kira-kira pukul 4 petang 11 Januari 2026.

Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan.

Berdasarkan fakta kes, pada Disember tahun lalu, pengadu menerima satu rakaman video daripada kakaknya yang dihantar menggunakan nombor telefon dipercayai milik bekas isteri kepada seorang lelaki yang dikenalinya.

Video tersebut memaparkan rakaman pengadu sedang melakukan hubungan seks dengan bekas suami tertuduh yang dirakam tanpa pengetahuan serta persetujuan pengadu.

Siasatan turut mendapati video berkenaan didakwa telah disebarkan tertuduh kepada beberapa ahli keluarga terdekat pengadu.

Pengadu membuat laporan polis kerana berasa teraniaya dan tidak berpuas hati dengan tindakan wanita terbabit yang didakwa menyebarkan rakaman tersebut.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nur Alia Safri memohon hukuman berat sebagai pengajaran kerana kesalahan melibatkan bahan lucah individu dikenal pasti yang bukan sahaja melanggar undang-undang malah telah mencabuli maruah dan privasi mangsa terlibat.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam dan menangis ketika prosiding bagaimanapun merayu hukuman ringan dengan alasan kejadian berlaku ketika dia beremosi akibat baru lepas keguguran anak selain perlu menanggung orang tua.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM2,800 atau dikenakan enam bulan penjara jika gagal bayar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast