Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Datuk Zakaria Shaaban

KUALA LUMPUR – Seramai seramai 30,801 warga asing ditahan sehingga 31 Mei 2026 atas pelbagai kesalahan imigresen dalam operasi yang dijalankan di seluruh negara.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, dari jumlah itu, seramai 2,324 individu dikesan menyalahgunakan pas yang diberikan dengan terlibat dalam aktiviti yang tidak selaras dengan tujuan asal kemasukan mereka ke Malaysia.

“Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) memandang serius isu penyalahgunaan pas dan aktiviti perniagaan tanpa kebenaran. Ini kerana ia bukan sahaja melanggar undang-undang imigresen, malah boleh memberi kesan kepada ketenteraman awam serta keseimbangan ekonomi negara,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata, JIM juga melaksanakan pelbagai pendekatan strategik termasuk penubuhan Inspektorat Penguatkuasaan yang berfungsi memperkukuh pemantauan dan tindakan terhadap pelanggaran undang-undang imigresen.

“Tindakan tegas terhadap majikan yang melanggar peraturan imigresen serta pengukuhan operasi bersepadu juga dilakukan bersama agensi penguatkuasa berkaitan,” katanya.

Selain itu, katanya, operasi bersasar turut dipertingkatkan di lokasi-lokasi yang dikenal pasti menjadi tumpuan warga asing, termasuk kawasan perniagaan, premis pekerjaan dan penempatan tertentu.

“JIM juga mengambil tindakan tegas terhadap majikan yang didapati menggaji atau melindungi pendatang asing yang melanggar syarat pas dan peraturan imigresen,” katanya.

Menurut Zakaria, JIM menetapkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) tahunan yang memberi fokus khusus kepada tindakan penguatkuasaan terhadap warga asing dan majikan yang melakukan kesalahan imigresen.

“Langkah tersebut selari dengan komitmen kerajaan untuk mempertingkat tindakan terhadap penyalahgunaan kemudahan imigresen serta membanteras aktiviti perniagaan yang dijalankan tanpa kebenaran yang sah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast