KUALA LUMPUR – Armada Bersatu Malaysia menafikan dakwaan Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden yang menuduh parti itu menjadi penghalang kepada usaha penyatuan ummah dan lebih memilih kepentingan kelompok dalam landskap politik tanah air.
Ketua Penerangan Armada Bersatu Malaysia, Harris Idaham Rashid menyifatkan tuduhan tersebut sebagai tersasar dan menegaskan Bersatu sentiasa patuh serta komited kepada setiap ketetapan yang telah dicapai oleh Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN).
“Komitmen Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) dalam menyatukan parti-parti politik Melayu tidak perlu dipersoalkan kerana perkara itu sudah dipersetujui secara rasmi dalam mesyuarat tertinggi gabungan berkenaan sebelum ini.
“Bukti komitmen tersebut jelas terpapar melalui kenyataan media Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang dikeluarkan sejurus selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Mei lalu di bawah tajuk Kerjasama Pilihan Raya.

“Dalam mesyuarat tersebut, PN secara prinsipnya telah bersetuju untuk menerima kerjasama pilihan raya atau electoral pact bersama parti-parti tertentu yang mempunyai keserasian perjuangan serta kepentingan bersama demi survival politik Melayu,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, susulan daripada keputusan tersebut, Setiausaha Agung PN sekali lagi mengeluarkan kenyataan pada 17 Mei lalu bagi mengesahkan penubuhan sebuah Jawatankuasa Khas.

“Jawatankuasa yang dianggotai oleh wakil parti-parti komponen dalam PN itu ditugaskan khusus untuk memperincikan terma dan syarat lengkap berhubung kerjasama politik yang bakal dijalinkan.
“Saya mahu mengingatkan Afnan Hamimi agar lebih peka dengan ketetapan yang telah dibuat di peringkat tertinggi gabungan itu memandangkan Ahli Parlimen Alor Setar tersebut juga merupakan sebahagian daripada ahli mesyuarat Majlis Tertinggi PN,” katanya lagi.
Harris turut menegaskan, kenyataan rasmi daripada Takiyuddin yang juga merupakan Setiausaha Agung Pas sudah cukup membuktikan seluruh parti komponen PN termasuk Bersatu sentiasa bersedia berganding bahu bersama parti Melayu lain demi agenda penyatuan ummah dan bukannya bergerak demi kepentingan kelompok seperti yang didakwa.
Terdahulu, Afnan Hamimi menerusi satu kenyataan media berkata, keputusan Pas menamatkan kerjasama politik dengan Bersatu dibuat atas dasar kepentingan penyatuan ummah bukan kepentingan kelompok tertentu, kata Ketua Pemuda Pas, Taib Azamudden.
Beliau berkata, Pas mengambil pendirian tersebut selepas menilai bahawa hala tuju penyatuan ummah yang diperjuangkan parti itu tidak lagi dapat dicapai menerusi kerjasama dalam PN susulan pendirian Bersatu yang didakwa tidak bersetuju menerima kemasukan parti-parti lain ke dalam gabungan berkenaan.
Jelasnya, kepentingan kelompok tertentu atau kepentingan ummah yang menjadi asas keputusan Pas menghentikan kerjasama politik dengan Bersatu.
Katanya lagi, jika Pas terus bersama Bersatu, ia adalah kepentingan kelompok tertentu, bukan kepentingan ummah. -MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Bersatu halang penyatuan ummah, pilih kepentingan kelompok – Afnan
















