KUALA LUMPUR – Malaysia terus memperkukuh komitmennya terhadap keadilan sosial dan pematuhan standard buruh global menerusi penyerahan surat rasmi penyertaan negara dalam Global Coalition for Social Justice kepada Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).
Penyerahan itu dibuat kepada Ketua Pengarah ILO, Gilbert F. Houngbo yang diiringi Penolong Ketua Pengarah dan Pengarah Serantau bagi Asia dan Pasifik, Kaori Nakamura Osaka serta Penasihat Kanan kepada Ketua Pengarah ILO, Hitomi Nakagome.
Langkah tersebut mencerminkan komitmen berterusan negara dalam memperkasa perlindungan sosial, mempromosikan pertumbuhan ekonomi yang inklusif dan mampan serta memperkukuh kesejahteraan pekerja selaras dengan standard buruh antarabangsa.
Pertemuan berkenaan turut disaksikan oleh rakan tripartit negara yang terdiri daripada Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr. Syed Hussain Syed Husman dan Presiden Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC), Datuk Mohamed Shafie BP Mammal bersama Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Antarabangsa), Dr. Mohd Shaharin Umar.
Penyertaan Malaysia dalam inisiatif tersebut juga dilihat sebagai usaha memperkukuh agenda keadilan sosial, memperluas perlindungan pekerja serta memacu pertumbuhan ekonomi yang lebih inklusif dan mampan selaras dengan prinsip kerja bermaruah atau Decent Work di peringkat global.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, pengukuhan ekosistem tripartit negara yang harmoni, inklusif dan berfungsi secara efektif merupakan elemen penting dalam memastikan kestabilan hubungan perusahaan.
“Dalam pertemuan tersebut, saya turut menegaskan kepentingan pengukuhan ekosistem tripartit negara yang harmoni, inklusif dan berfungsi secara efektif,” katanya.
Beliau berkata, semua pihak termasuk wakil majikan dan pekerja perlu terus mengutamakan dialog serta pendekatan konstruktif dalam menangani isu berkaitan perhubungan perusahaan.
“Semua pihak, sama ada wakil majikan mahupun pekerja, perlu terus mengutamakan dialog dan pendekatan konstruktif dalam menangani isu-isu berkaitan perhubungan perusahaan, agar ia tidak menjejaskan keyakinan komuniti antarabangsa terhadap sistem perburuhan negara,” katanya. – MalaysiaGazette
















