Shaiful Hazizy Zainol Abidin.

KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) disifatkan `sangat tidak bermaruah’ sekiranya terus kekal dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Kedah.

Ini kerana menurut Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin, pada hakikatnya Pas sudah pun menamatkan kerjasama dengan Bersatu atas sebab-sebab yang dimaklumkan sebelum ini.

Sehubungan itu, ujarnya, Exco Kerajaan Negeri Kedah daripada Bersatu wajar mengundurkan diri daripada jawatan masing-masing bagi memberi ruang kepada Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor membuat pelantikan baharu daripada parti itu sendiri.

“Ayat mudah PAS dah jatuh “talak politik” dan seharusnya Exco Kerajaan Negeri drpd Bersatu jangan “hidung mancung pipi tersorong-sorong”,” katanya menerusi Facebooknya.

Terdahulu, Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja Pas Pusat pada malam Isnin lalu membuat keputusan secara rasmi menghentikan kerjasama politik dengan Bersatu berkuat kuasa serta-merta.

Ia selepas mengambil kira laporan, kajian dan penilaian semasa terhadap hubungan kedua-dua parti.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam kenyataan berkata, parti itu memperakukan keputusan Mesyuarat Majlis Syura Ulamak pada 2 Jun lalu berhubung pertimbangan dasar, hukum dan maslahah kerjasama politik Pas, atas prinsip penyatuan ummah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast