MELAKA – Isu penyediaan tapak pelupusan abu mayat (asthi) untuk masyarakat Hindu di negeri ini masih gagal diselesaikan walaupun telah berlarutan hampir 60 tahun.
Ketua Penerangan Bersekutu Bersatu Melaka, V. Tanabalan berkata, ia sebenarnya bukan perkara baharu kerana telah dibangkitkan sejak sekian lama.
Malah katanya, masyarakat Hindu diberikan harapan apabila penyelesaiannya dijanjikan dalam tempoh 300 hari semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 2021.
“Janji itu telah memberikan keyakinan kepada masyarakat bahawa penyelesaian yang menyeluruh dan berkekalan akhirnya akan dicapai selepas bertahun-tahun isu ini tertangguh.
“Bagaimanapun, selepas tempoh yang dijanjikan berlalu, persoalan sama masih terus dibangkitkan dan sehingga hari ini penyelesaian yang diharapkan masih belum dapat direalisasikan sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas tindakan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) menghentikan satu ritual kematian masyarakat Hindu di kawasan pesisir pantai Taman Residence 8, Padang Temu pada Ahad lalu kerana lokasi itu tidak dibenarkan untuk tujuan berkenaan.
Mengulas lanjut, Tanabalan berkata, pengurusan abu mayat bagi masyarakat Hindu bukan sekadar melibatkan aspek kemudahan awam, sebaliknya mempunyai kepentingan besar dari sudut keagamaan dan adat resam.
“Justeru, kegagalan menyediakan penyelesaian yang sesuai bukan sahaja menimbulkan kesulitan kepada keluarga yang terlibat, malah memberi kesan kepada sensitiviti dan penghormatan terhadap amalan agama mereka,” tambahnya.
Beliau turut mempersoalkan mengapa isu yang telah berlarutan sejak beberapa dekad lalu masih belum menemukan penyelesaian walaupun pelbagai projek pembangunan lain dapat dilaksanakan dalam tempoh lebih singkat.
“Sedangkan pelbagai projek pembangunan lain mampu dilaksanakan dalam tempoh yang lebih singkat, isu yang melibatkan keperluan asas dan hak masyarakat sepatutnya diberikan keutamaan yang sama.
“Penyelesaian terhadap isu tapak pelupusan abu mayat ini bukan sekadar memenuhi satu janji politik, tetapi merupakan manifestasi komitmen kerajaan dalam menjaga kebajikan serta menghormati kepelbagaian budaya dan agama rakyat,” katanya.
Jelas beliau, ketika pilihan raya negeri akan datang semakin menghampiri, masyarakat tentunya mahu melihat tindakan yang lebih konkrit berbanding sekadar pengumuman dan janji.
“Apa yang diperlukan sekarang ialah pelaksanaan, ketelusan dan kesungguhan untuk memastikan isu yang telah berlarutan hampir 60 tahun ini akhirnya menemui noktah penyelesaian,” katanya. – MalaysiaGazette
















