JOHOR BAHRU – Kenyataan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang mendakwa beliau lebih rela tidak menjadi Menteri Besar daripada bekerjasama dengan DAP disifatkan sebagai retorik politik yang mungkin tidak mencerminkan realiti selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.
Pemangku Ketua Parti Bersekutu, Datuk Seri Sanjeevan mendakwa, kenyataan tersebut mengingatkan kepada pendirian yang pernah dinyatakan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Menurutnya, keberanian Onn Hafiz mengeluarkan kenyataan sedemikian mungkin bersandarkan kejayaan besar BN dalam PRN Johor 2022 yang menyaksikan gabungan itu memperoleh majoriti selesa.
“Pada ketika itu situasinya berbeza. Negara baru keluar daripada pandemik Covid-19 dan Datuk Seri Najib Razak memainkan peranan besar sebagai penggerak utama kempen BN.
“Namun landskap politik hari ini sudah jauh berubah berbanding tahun 2022,” katanya dalam laman sosial beliau.
Sanjeevan berkata, beberapa perkembangan politik semasa turut mengubah sentimen pengundi termasuk pemenjaraan Najib serta kegagalan pelaksanaan titah adendum berkaitan tahanan rumah bekas Perdana Menteri itu.
Beliau turut mendakwa serangan politik berterusan antara DAP dan Pakatan Harapan (PH) dengan UMNO juga telah memberi kesan kepada sokongan akar umbi terhadap gabungan kerajaan sedia ada.
Menurutnya, keadaan itu menjadikan peluang BN untuk mengulangi kemenangan besar seperti dicapai dalam PRN Johor 2022 lebih mencabar.
“Amat sukar untuk BN memperoleh majoriti mudah seperti yang berlaku pada pilihan raya negeri lalu.
“Justeru, tidak mustahil BN akan kembali bergantung kepada PH dan DAP untuk membentuk kerajaan negeri sekiranya gagal memperoleh jumlah kerusi yang mencukupi,” katanya.
Beliau mendakwa alasan yang digunakan bagi pembentukan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan selepas PRU-15 berkemungkinan akan digunakan semula bagi mewajarkan kerjasama antara PH dan BN di Johor.
Katanya, reaksi pantas Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke terhadap kenyataan Onn Hafiz juga menunjukkan ruang kerjasama politik antara kedua-dua pihak masih terbuka.
Sehubungan itu, Sanjeevan mendakwa pengundi Johor perlu menilai semula pendirian BN menjelang pilihan raya negeri akan datang dan tidak terpengaruh dengan kenyataan yang disifatkannya sebagai bersifat sementara.
“Dalam politik, apa yang dikatakan sebelum pilihan raya tidak semestinya menjadi kenyataan selepas keputusan diumumkan.
“Pengundi perlu melihat kepada realiti politik semasa dan kemungkinan pembentukan kerajaan selepas pilihan raya, bukannya hanya bergantung kepada kenyataan kempen,” tegasnya.
Beliau turut menggesa rakyat Johor memberikan sokongan kepada Perikatan Nasional (PN) sekiranya mahu melihat perubahan landskap politik negeri serta mengelakkan kerjasama antara BN dan PH berulang pada masa depan. – MalaysiaGazette















