KUALA LUMPUR – Polis menahan dua lelaki tempatan yang dipercayai terlibat dalam kegiatan pemasangan peranti skimmer pada mesin pengeluaran wang automatik (ATM) bagi mendapatkan maklumat perbankan pelanggan tanpa kebenaran.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Sazalee Mohd Adam berkata, siasatan bermula selepas Bahagian Siasatan Jenayah Komersil (BSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi menerima laporan daripada seorang pegawai Public Bank pada 14 Mei lalu.
Menurutnya, laporan itu dibuat berhubung penemuan satu peranti asing yang dipercayai digunakan untuk mencuri maklumat perbankan pelanggan pada sebuah mesin ATM di Jalan Bukit Bintang.
“Hasil pemeriksaan pihak bank mendapati satu peranti skimmer telah dipasang pada slot kad mesin ATM berkenaan.
“Semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kemudiannya mengesan dua lelaki tempatan disyaki terlibat dalam pemasangan peranti tersebut pada 13 Mei lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, bertindak atas maklumat dan risikan yang dijalankan, sepasukan pegawai serta anggota BSJK IPD Dang Wangi berjaya menahan kedua-dua suspek berusia 51 tahun di sekitar Pandan Indah pada 4 Jun lalu.
Katanya, siasatan mendapati kedua-dua suspek dipercayai terlibat dalam kegiatan pemasangan peranti skimmer pada beberapa mesin ATM di sekitar Kuala Lumpur bagi mendapatkan data perbankan pengguna.
Menurutnya, polis turut merampas pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan dalam kegiatan tersebut termasuk komputer riba, alat pembaca kad (card reader), kad ATM klon, komponen elektronik dan telefon bimbit.
“Walau bagaimanapun, cubaan mendapatkan data perbankan pelanggan melalui pengubahsuaian peranti elektronik yang dipasang pada mesin ATM itu gagal dan tiada sebarang kerugian dilaporkan oleh pihak bank atau pelanggan,” katanya.
Menurut beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan dan kedua-dua suspek direman selama enam hari bermula 5 Jun lalu hingga hari ini bagi membantu siasatan.
Tambahnya, kedua-dua tertuduh telah didakwa di Mahkamah Sesyen Jalan Duta hari ini mengikut Seksyen 4(1) Akta Jenayah Komputer.
Sazalee turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada ketika menggunakan mesin ATM dan segera memaklumkan kepada pihak bank atau polis sekiranya mengesan sebarang peranti atau objek mencurigakan pada mesin berkenaan. – MalaysiaGazette
















