Mohd Shafie Apdal

KUALA LUMPUR – Parti Warisan kekal teguh dan akan terus memberi tumpuan kepada perjuangan mempertahankan hak-hak Sabah meskipun beberapa individu mengambil keputusan meninggalkan parti baru-baru ini, kata presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Menurut beliau, individu yang keluar daripada parti itu hanya segelintir bekas ketua bahagian dan bekas pemegang jawatan parti bukan wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat atas tiket Warisan.

Beliau menghormati keputusan mereka dalam semangat demokrasi serta mendoakan yang terbaik buat semua yang memilih haluan berbeza.

Mohd Shafie berkata, dalam politik, sesebuah parti akan melalui pelbagai fasa dan cabaran.

“Mereka yang benar-benar ikhlas serta komited kepada perjuangan akan terus kekal bersama parti manakala ada yang memilih untuk meninggalkan parti apabila tidak dipilih sebagai calon atau apabila kehendak peribadi mereka tidak dapat dipenuhi.

“Saya mengingatkan Warisan pernah berdepan situasi lebih mencabar selepas Pilihan Raya Negeri Sabah 2020 apabila beberapa wakil rakyat yang menang atas tiket parti itu bertindak melompat parti meskipun dipilih atas kepercayaan dan sokongan rakyat.

“Namun Warisan terus berdiri teguh,” katanya menerusi hantarab di Facebook hari ini.

Menurut Mohd Shafie, kekuatan sebenar Warisan tidak pernah bergantung kepada mana-mana individu sebaliknya terletak pada ahli-ahli biasa, sukarelawan akar umbi dan rakyat Sabah yang terus percaya kepada perjuangan yang bersih serta berprinsip.

Beliau turut menyifatkan perkembangan terkini itu sebagai satu proses pembersihan semula jadi dalam sesebuah gerakan politik.

Katanya, parti akan menjadi lebih kuat apabila mereka yang benar-benar komited terus kekal, manakala mereka yang kesetiaannya bergantung kepada jawatan, pencalonan atau kepentingan peribadi memilih untuk berundur.

Beliau berkata, terdapat pihak yang melihat politik berdasarkan apa yang boleh diberikan oleh parti kepada mereka sedangkan mereka yang kekal bersama Warisan memahami politik adalah tentang sumbangan kepada Sabah dan rakyatnya.

Mengulas dakwaan bahawa Warisan semakin lemah, Mohd Shafie berkata, tuduhan sedemikian bukan perkara baharu kerana ia telah berulang kali dimainkan ketika wakil rakyat melompat parti, ketika pemimpin kanan meninggalkan parti dan selepas pilihan raya sebelum ini.

“Namun, Warisan tetap berdiri kerana perjuangan kami tidak pernah dibina atas jawatan, gelaran atau individu tertentu. Perjuangan ini dibina atas aspirasi rakyat yang mahukan masa depan yang lebih baik untuk Sabah,” katanya.

Beliau menegaskan, mereka yang tidak mampu bertahan menghadapi ujian ketika berada di blok pembangkang tidak akan mampu memikul tanggungjawab besar untuk mentadbir.

Sehubungan itu, Mohd Shafie berkata, Warisan akan terus memberi fokus kepada usaha memperkukuh ekonomi negeri, mewujudkan lebih banyak peluang kepada generasi muda serta membina masa depan yang lebih baik untuk rakyat Sabah.

“Apa yang berlaku hanyalah satu bab kecil dalam perjalanan perjuangan yang jauh lebih panjang. Warisan tetap utuh dan akan terus mara ke hadapan. Perjuangan untuk Sabah akan terus menjadi keutamaan kami,” katanya. — MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast