Kompleks Mahkamah Syariah Negeri Melaka

MELAKA – Bekas suami kepada wanita yang sebelum ini didenda kerana menyebarkan video seks lelaki itu bersama kekasihnya akan didakwa di Mahkamah Tinggi Syariah Melaka hari ini atas pertuduhan cubaan melakukan persetubuhan haram.

Pendakwaan terhadap pasangan kekasih itu akan dibuat mengikut Seksyen 52 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991.

Perbuatan itu memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjara maksimum 36 bulan atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Isnin lalu, MalaysiaGazette melaporkan Puteri Norfatimah Ishak, 25, didenda RM2,800 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, selepas mengaku bersalah menyimpan dan menyebarkan video seks bekas suaminya dengan wanita lain, Disember tahun lalu.

Kesalahan itu dilakukan di tepi jalan Jalan Ayer Keroh Lama dalam daerah Melaka Tengah, kira-kira pukul 4 petang 11 Januari 2026.

Berdasarkan fakta kes, pada Disember tahun lalu, pengadu menerima satu rakaman video daripada kakaknya yang dihantar menggunakan nombor telefon dipercayai milik bekas isteri kepada seorang lelaki yang dikenalinya.

Video tersebut memaparkan rakaman pengadu sedang melakukan hubungan seks dengan bekas suami tertuduh yang dirakam tanpa pengetahuan serta persetujuan pengadu.

Siasatan turut mendapati video berkenaan didakwa telah disebarkan tertuduh kepada beberapa ahli keluarga terdekat pengadu.

Pengadu kemudian membuat laporan polis kerana berasa teraniaya dan tidak berpuas hati dengan tindakan wanita terbabit yang didakwa menyebarkan rakaman tersebut. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast