KUALA LUMPUR – Parti Sosialis Malaysia (PSM) Semenyih mengecam tindakan sesetengah pihak yang mempergunakan isu pelarian, khususnya yang berkaitan komuniti Rohingya, dengan memainkan sentimen perkauman dan xenofobia di media sosial.
Setiausahanya, Yap Heng Lung berkata, tindakan menonjolkan identiti etnik itu dalam video tular sebuah bangunan di Hulu Langat baru-baru ini secara sensasi adalah tidak bertanggungjawab dan hanya mengundang kebencian terhadap golongan yang sudah pun terpinggir.
Menurutnya, jika terdapat isu yang ingin diketengahkan, fokus sepatutnya diberikan kepada fakta dan keadaan sebenar, bukannya identiti etnik atau asal-usul seseorang.
“PSM mengulangi pendirian yang pernah dinyatakan bersama 74 pertubuhan masyarakat sivil sebelum ini bahawa segala bentuk diskriminasi, kebencian dan penindasan terhadap pelarian mesti dihentikan.
“Kempen serta petisyen dalam talian yang menyemarakkan kebencian terhadap komuniti Rohingya adalah tidak boleh diterima dalam sebuah masyarakat yang menghormati prinsip kemanusiaan dan hak asasi manusia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, sejak sekian lama, PSM memperjuangkan hak pelarian dan pencari suaka, justeru menyeru kerajaan dan masyarakat umum agar tidak terus menjadikan golongan itu sebagai kambing hitam kepada pelbagai masalah sosial dan ekonomi.
Sebaliknya, kata beliau, mereka perlu dilayan dengan penuh maruah dan penghormatan sebagai sesama manusia tanpa mengira bangsa, agama atau negara asal.
Heng Lung turut berkongsi data terkini daripada Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) yang mana terdapat lebih 41 juta orang pelarian dan sekitar sembilan juta orang pencari suaka di seluruh dunia akibat peperangan, konflik serta penindasan.
Di Malaysia pula, menurutnya, kira-kira 30 peratus daripada lebih 215,000 orang pelarian dan pencari suaka yang berdaftar terdiri daripada kanak-kanak.
Ujarnya, angka itu menunjukkan bahawa isu pelarian bukan sekadar isu migrasi, tetapi juga isu kemanusiaan yang melibatkan golongan paling rentan.
“Sehubungan itu, Kerajaan MADANI perlu mengambil langkah berani dengan meratifikasikan Konvensyen Berhubung Status Pelarian.
“Ratifikasi konvensyen ini akan membantu dalam mewujudkan kerangka dasar yang lebih jelas dalam pengurusan pelarian dan pencari suaka, di samping meningkatkan kesedaran dalam kalangan agensi kerajaan serta masyarakat mengenai hak asasi manusia sejagat,” katanya.
Tambahnya, seruan itu juga amat bertepatan menjelang sambutan Hari Pelarian Sedunia pada 20 Jun ini.
Jelasnya, kerajaan tidak boleh terus bergantung kepada alasan dan pendekatan yang diwarisi daripada pentadbiran terdahulu.
Sebagai anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN), katanya, Malaysia seharusnya menunjukkan komitmen yang lebih kukuh dalam memelihara hak asasi manusia selaras dengan prinsip-prinsip yang termaktub dalam deklarasi hak asasi di peringkat antarabangsa dan serantau.
“Akhir sekali, kerajaan perlu mengendalikan isu pelarian dan pencari suaka berlandaskan piawaian hak asasi manusia.
“Pada masa yang sama, rakyat Malaysia harus mengembangkan sikap sebagai warga dunia yang bertanggungjawab dan tidak mengaitkan komuniti pelarian secara membuta tuli dengan masalah ekonomi atau sosial.
“Pemikiran xenofobia tiadanya tempat dalam masyarakat yang adil, demokratik dan berperikemanusiaan,” katanya. – MalaysiaGazette
















