KUALA LUMPUR – Malaysia terus memperkukuhkan kedudukannya sebagai antara negara yang aktif membentuk hala tuju baharu perburuhan global menerusi penyertaan dalam Persidangan Buruh Antarabangsa (ILC) Sesi Ke-114 di Geneva, Switzerland.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, penyertaan itu mencerminkan komitmen berterusan Malaysia dalam memperkukuh kerangka dan norma baharu bagi mengurus perubahan dunia pekerjaan yang semakin dipacu teknologi serta pendigitalan.
Menurut beliau, di bawah kepimpinan Kerajaan MADANI, negara kekal konsisten memperhalusi pendekatan perburuhan yang lebih progresif bagi mendepani cabaran pasaran buruh global yang semakin kompleks.
“Malaysia terus memperkukuh peranannya secara aktif dalam ekosistem tadbir urus perburuhan global melalui penyertaan di Persidangan Buruh Antarabangsa (ILC) Sesi Ke-114 di Geneva,” katanya dalam satu kenyataan.
Ramanan berkata, Malaysia turut memperkukuh kerjasama strategik dengan institusi antarabangsa utama dalam aspek perlindungan sosial, keselamatan pekerjaan dan pembangunan hubungan industri yang lebih inklusif serta responsif terhadap perubahan struktur ekonomi global.
Menurutnya, penyertaan aktif negara di peringkat antarabangsa turut membuka lembaran baharu menerusi penglibatan dalam Global Coalition for Social Justice yang mengukuhkan lagi peranan Malaysia dalam memperjuangkan agenda keadilan sosial dan perlindungan pekerja.
“Sepanjang persidangan, Malaysia menegaskan pendirian bahawa kemajuan teknologi perlu diseimbangkan dengan kerangka dasar yang jelas, tersusun dan berkesan bagi mengelakkan ketidakseimbangan baharu terhadap tenaga kerja,” katanya.
Beliau berkata, Malaysia turut berkongsi pengalaman melaksanakan beberapa inisiatif domestik termasuk Akta Pekerja Gig dan Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (LINDUNG 24 JAM) yang menjadi rujukan dalam perbincangan global berkaitan perlindungan pekerja dan peningkatan standard perburuhan.
“Secara keseluruhan, penyertaan Malaysia di ILC Ke-114 ini memperkukuh kedudukan negara sebagai suara yang konstruktif dan berpengaruh dalam pembentukan norma serta hala tuju baharu perburuhan global yang lebih mampan, adil dan progresif dalam mendepani cabaran masa hadapan,” katanya. – MalaysiaGazette
















