KUALA LUMPUR – Seorang buruh binaan warga tempatan dicekup polis selepas dipercayai memiliki dadah jenis syabu di kawasan tepi jalan Kampung Kurnia Jaya Batu 4, di Tawau, Sabah, petang kelmarin.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, suspek lelaki berusia 25 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND), IPD Tawau kira-kira jam 6 petang dalam keadaan mencurigakan.
“Polis menemui dan merampas dua paket plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat keseluruhan 0.54 gram.
“Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine,” jelasnya dalam kenyataan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah dan Seksyen 15(1)(a) akta sama kerana memasukkan dadah berbahaya ke dalam badan.
Tambahnya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) kontinjen Sabah khususnya IPD Tawau akan terus memperhebatkan operasi dan tindakan penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti penyalahgunaan serta pengedaran dadah di daerah berkenaan. – MalaysiaGazette















