Penduduk tempatan di Jalan Pulau Senang 3, Semabok mendakwa pernah menangis selepas melihat Jalur Gemilang yang dipasang di hadapan rumahnya dipijak oleh anak-anak pelarian Rohingya, menjadikannya antara pengalaman paling mengecewakan sepanjang berjiran dengan komuniti berkenaan.

MELAKA – Seorang penduduk mendakwa pernah menangis selepas melihat Jalur Gemilang yang dipasang di hadapan rumahnya dipijak oleh anak-anak pelarian Rohingya, menjadikannya antara pengalaman paling mengecewakan sepanjang berjiran dengan Etnik Myanmar itu.

Penduduk, Yusriza Yahya, 40, berkata, kejadian itu berlaku ketika sambutan Hari Kebangsaan apabila dia memasang bendera Malaysia di luar rumah sebagai tanda cintakan tanah air.

Menurutnya, tindakan tersebut amat menghiris perasaannya kerana Malaysia merupakan negara yang menerima kehadiran pelarian berdaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) itu atas dasar kemanusiaan.

“Sedihnya bila melihat Jalur Gemilang yang menjadi lambang kedaulatan negara dicintai ini dipijak oleh anak-anak Rohingya.

“Kita beri mereka tinggal dengan baik, tetapi mereka buat macam ini. Sebagai rakyat Malaysia, saya harap ada tindakan terhadap mereka,” katanya.

Yusriza ditemui pemberita semasa lawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abd Halem ke kawasan penempatan Rohingya di Jalan Pulau Senang 3, Semabok di sini, malam tadi.

Helmy (kiri) dan Shadan melakukan pemantauan bersama beberapa agensi kerajaan di kawasan penempatan Rohingya Jalan Pulau Senang 3, Semabok, Melaka malam tadi.

Hadir sama Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman serta wakil Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menurut Yusriza, isu berkenaan bukanlah kejadian terpencil kerana penduduk di kawasan itu telah lama berdepan pelbagai masalah yang didakwa melibatkan segelintir pelarian Rohingya.

“Antara aduan yang sering dibangkitkan termasuk pergaduhan sesama sendiri, gangguan bunyi bising serta perlakuan yang menimbulkan rasa kurang selesa dalam kalangan penduduk tempatan.

“Malah saya sendiri pernah menjadi mangsa apabila kenderaa dirosakkan, namun memilih untuk terus menetap di kawasan ini kerana kekangan kewangan,” katanya yang menyewa pada kadar RM400 sebulan dibayar Majlis Agama Islam Melaka (MAIM)

Sementara itu, suaminya, Man Yusof, 64, berkata terdapat segelintir dalam kalangan pelarian terbabit yang didakwa bersikap seolah-olah kebal daripada tindakan undang-undang kerana memiliki kad pelarian UNHCR.

“Mereka selalu minum (mabuk) dan bergaduh tapi bila ditegur, mereka kata mereka ada kad UNHCR.

“Rakyat Malaysia terima mereka atas dasar kemanusiaan sebab itu penduduk cuma mahu mereka hormat negara ini, hormat jiran dan hormat undang-undang,” luahnya kecewa. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast