SHAH ALAM – Polis Selangor berjaya menumpaskan empat sindiket penipuan dalam talian yang beroperasi sebagai pusat panggilan (call center) menerusi beberapa siri serbuan di Kajang, Seri Kembangan dan Shah Alam minggu lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, operasi yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Kontinjen Selangor serta Bahagian Siasatan Jenayah Komersil (BSJK) beberapa Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) berjaya menahan seramai 41 warga asing yang dipercayai terlibat dalam pelbagai kegiatan penipuan antarabangsa.
Menurut beliau, sindiket yang ditumpaskan melibatkan penipuan tawaran kerja sambilan, pelaburan dalam talian, love scam serta penawaran khidmat seks tidak wujud yang menyasarkan mangsa dari luar negara.
“Dalam kes pertama, serbuan dilakukan di sebuah rumah di Bandar Mahkota Cheras, Kajang pada 8 Jun lalu dan berjaya menahan 18 warga asing terdiri daripada 15 lelaki dan tiga wanita berusia antara 18 hingga 44 tahun.
“Siasatan awal mendapati sindiket tersebut beroperasi sejak April lalu dengan menawarkan pekerjaan sambilan kepada warga Ireland melalui aplikasi Tinder dan Hariroza,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Shazeli berkata, polis turut merampas 32 telefon bimbit, sembilan komputer riba dan sebuah router WiFi dengan nilai keseluruhan kira-kira RM40,000.
Kesemua suspek telah didakwa di Mahkamah Kajang pada 12 Jun lalu di bawah Seksyen 120B(2) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 417 Kanun Keseksaan.
Dalam kes kedua, BSJK IPD Kajang menyerbu sebuah rumah di Country Heights, Kajang pada 9 Jun lalu dan menahan 13 warga asing terdiri daripada enam lelaki dan tujuh wanita berusia antara 26 hingga 48 tahun.
“Sindiket ini dipercayai menawarkan pelaburan dalam talian kepada warga Amerika Syarikat menggunakan platform BitCDX dengan memanipulasi transaksi dan keuntungan pelaburan mangsa sebelum meminta bayaran tambahan bagi mendapatkan pulangan tersebut,” katanya.
Hasil serbuan itu, polis merampas tujuh telefon bimbit, lima komputer riba, dua router WiFi dan sebuah modem bernilai RM25,000.
Susulan siasatan lanjut pada 12 Jun, polis turut menyerbu sebuah lagi rumah di kawasan sama dan merampas wang tunai RM304,200, wang tunai SGD490, sebuah kereta Rolls-Royce, sebuah Lexus, tiga komputer riba termasuk dua MacBook, sebuah telefon bimbit, buku cek serta kunci peti besi.
“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan kira-kira RM2 juta,” katanya.
Kesemua suspek direman selama tujuh hari sehingga 16 Jun bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 120B Kanun Keseksaan.
Sementara itu, dalam kes ketiga, BSJK IPD Serdang menyerbu sebuah premis kediaman di Seri Kembangan pada 10 Jun lalu dan menahan tujuh warga asing terdiri daripada enam lelaki dan seorang wanita.
Menurut Shazeli, sindiket yang beroperasi sejak Mac lalu itu menyasarkan warga China dengan menawarkan pakej pelaburan dikenali sebagai Yun Shu Mao yang menjanjikan pulangan lumayan.
“Komunikasi antara operator dan mangsa dilakukan melalui aplikasi QQ dan Potato,” katanya.
Polis turut merampas tujuh komputer riba, 22 telefon bimbit, sebuah modem WiFi dan sebuah router dengan nilai rampasan kira-kira RM20,000.
Kesemua suspek direman empat hari sebelum diserahkan kepada pihak imigresen untuk tindakan lanjut.
Dalam operasi berasingan pada hari sama, BSJK IPD Shah Alam menahan tiga lelaki warga asing selepas menyerbu sebuah rumah di Setia Alam yang dipercayai dijadikan pusat operasi sindiket love scam dan penawaran khidmat seks tidak wujud.
Shazeli berkata, sindiket yang aktif sejak Januari lalu itu menyasarkan warga Eropah menerusi aplikasi Telegram.
“Polis merampas 13 telefon bimbit, tiga komputer riba dan dua router WiFi dengan nilai keseluruhan sekitar RM20,000,” katanya.
Beliau berkata, kesemua suspek direman selama tiga hari sebelum tindakan lanjut diambil mengikut peruntukan imigresen.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 120B Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette
















