LONDON – Manchester United berpotensi meraih manfaat kewangan sekiranya bekas pengendalinya, Ruben Amorim menerima tawaran untuk menjadi ketua jurulatih baharu AC Milan.
Laporan terkini menyatakan Amorim kini menjadi calon utama untuk mengambil alih jawatan jurulatih AC Milan pada musim panas di Serie A.
Jika perjanjian berjaya dimeterai, Man United tidak lagi perlu menanggung keseluruhan pampasan yang telah diperuntukkan selepas pemecatan jurulatih dari Portugal itu pada Januari lalu.
Menurut laporan The Telegraph dan SkySports, sekiranya Amorim dilantik secara rasmi oleh Rossoneri, Man United tidak perlu membayar keseluruhan pampasan yang telah diperuntukkan sebelum ini.
“Dokumen kewangan Manchester United yang dikeluarkan baru-baru ini menunjukkan kelab telah menyediakan sekitar £15.9 juta pound untuk membayar pampasan kepada Amorim serta barisan staf kejurulatihannya.
“Dalam kebanyakan situasi kontrak bola sepak, pampasan yang perlu dibayar oleh bekas majikan boleh dikurangkan atau dihentikan apabila individu yang dipecat memperoleh pekerjaan baharu.
“Oleh itu, pelantikan Amorim di San Siro berkemungkinan mengurangkan beban kewangan yang masih ditanggung oleh Manchester United,” kata laporan itu.
Awal Januari lalu, Man United mengesahkan pemecatan Amorim sebagai ketua jurulatih selepas 14 bulan mengemudi pasukan.
Keputusan itu menyaksikan pengendali dari Portugal berkenaan meninggalkan Old Trafford lebih awal walaupun kontraknya masih berbaki hingga 2027, dengan United ketika ini menghuni tangga keenam Liga Perdana Inggeris.
Amorim meninggalkan United dengan rekod 24 kemenangan daripada 63 perlawanan, sekali gus mencatatkan rekod ketiga terburuk dalam kalangan pengurus tetap sepanjang sejarah kelab gergasi itu. – Agensi
















