Datuk Ngwe Hee Sem

MELAKA – Seramai 55 pelarian Rohingya yang memegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) menerima rawatan di Hospital Melaka sepanjang tempoh Januari hingga Mei tahun ini.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak 40 kes melibatkan kelahiran bayi manakala 15 lagi merupakan kes rawatan lain.

“Jumlah kes bersalin di Hospital Melaka bagi tahun ini setakat Mei lalu adalah 40 kes manakala 15 lagi adalah lain-lain kes.

“Ini menjadikan keseluruhan pesakit Rohingya yang mendapatkan rawatan di Hospital Melaka sahaja sepanjang tempoh lima bulan seramai 55 orang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Hospital Melaka

Beliau berkata demikian ketika mengulas statistik rawatan melibatkan pemegang kad UNHCR di Hospital Melaka susulan kebimbangan segelintir pihak mengenai kehadiran warga Rohingya di fasiliti kesihatan kerajaan.

Sabtu lalu, MalaysiaGazette melaporkan kerajaan didakwa menanggung kira-kira RM30 juta setahun bagi kos rawatan kesihatan membabitkan pelarian etnik Rohingya di hospital awam sekali gus menimbulkan persoalan mengenai beban kewangan yang terpaksa dipikul oleh pembayar cukai tempatan.

Pensyarah Undang-Undang Antarabangsa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Salawati Mat Basir dilaporkan berkata, isu itu kini bukan lagi sekadar kemanusiaan, sebaliknya melibatkan keupayaan negara mengurus populasi pelarian yang semakin meningkat.

Kementerian Kesihatan (KKM) bagaimanapun semalam melaporkan tidak mengesan sebarang peningkatan luar biasa kehadiran etnik Rohingya di hospital dan klinik kerajaan di seluruh negara. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast