KUALA LUMPUR – Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pahang memaklumkan setakat ini tiada bukti yang mengaitkan kes Gastroenteritis Akut (AGE) dengan aktiviti rekreasi di kawasan sungai di Bentong susulan dakwaan tular di media sosial mengenai pengunjung yang mengalami cirit-birit, muntah dan demam.
Menurut JKN Pahang, pihaknya mengambil maklum mengenai hantaran yang mendakwa beberapa pengunjung kawasan rekreasi sungai di Bentong mengalami gejala berkenaan selepas mandi-manda di lokasi tersebut.
Susulan itu, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Bentong telah menjalankan siasatan lapangan dan penilaian risiko.
“Hasil siasatan awal mendapati tiada notifikasi kejadian keracunan makanan atau peningkatan luar biasa kes AGE yang diterima melalui sistem survelan sedia ada.
“Setakat ini juga, tiada kes AGE yang dapat disahkan mempunyai kaitan dengan kejadian tersebut,” menurutnya dalam satu kenyataan.
Baru-baru ini kecoh di media sosial beberapa pengunjung yang mandi sungai di daerah Bentong mengalami gejala AGE.
Gejala itu turut melibatkan kanak-kanak.
Mengulas lanjut, JKN Pahang turut memaklumkan, persampelan air mentah bagi analisis mikrobiologi telah dijalankan di beberapa lokasi di sepanjang Sungai Benus, Janda Baik pada 14 Jun lalu dan keputusan analisis makmal masih ditunggu.
Bagi memastikan keselamatan orang ramai, beberapa langkah kawalan dan pencegahan sedang dilaksanakan termasuk pengesanan kes secara aktif, siasatan epidemiologi bagi mengenal pasti sumber pendedahan dan faktor risiko berkaitan serta penilaian risiko persekitaran di kawasan rekreasi yang terlibat.
Selain itu, survelan AGE di fasiliti kesihatan kerajaan dan swasta di kawasan sekitar turut dipertingkatkan bagi mengesan sebarang kluster atau peningkatan kes yang mempunyai kaitan epidemiologi.
JKN Pahang juga bekerjasama dengan agensi berkaitan untuk menilai kualiti air dan mengenal pasti kemungkinan sumber pencemaran sebagai sokongan kepada pelaksanaan langkah kawalan yang bersesuaian.
Sehubungan itu, orang ramai yang mengalami gejala seperti cirit-birit, muntah, sakit perut atau demam selepas menjalankan aktiviti rekreasi di kawasan sungai berkenaan dinasihatkan mendapatkan pemeriksaan dan rawatan segera di fasiliti kesihatan berhampiran.
Pengusaha premis rekreasi dan penginapan pula diminta memastikan kemudahan sanitasi, bekalan air bersih dan sistem kumbahan mematuhi keperluan kesihatan awam serta diselenggara secara berkala bagi mengurangkan risiko pencemaran dan penyakit bawaan air.
JKN Pahang menegaskan pihaknya akan terus memantau situasi tersebut dan memaklumkan perkembangan terkini berdasarkan hasil siasatan epidemiologi, penilaian risiko serta keputusan analisis makmal.
Orang ramai turut dinasihatkan supaya tidak membuat spekulasi yang boleh menimbulkan keresahan awam dan mendapatkan maklumat hanya daripada saluran rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia. – MalaysiaGazette
















