KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra, Dr. Haim Hilman Abdullah tidak berganjak dengan pendiriannya berhubung isu kemasukan penuntut tempatan ke universiti awam (UA) menerusi `pintu belakang’.
Sebaliknya, beliau yang juga bekas Naib Canselor, Universiti Utara Malaysia (UUM) bersedia berdepan tindakan undang-undang bagi membuktikan bahawa kemasukan penuntut tanpa melalui saluran Unit Pusat Universiti (UPU), memang wujud.
Beliau yang juga Exco Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Inovasi Kedah berkata, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berhak mengambil apa jua tindakan, namun berpendapat perkara itu perlu dijawab dengan fakta dan data yang jelas kepada rakyat.
“KPT perlu menjawab isu berkenaan berdasarkan data, bukan ugutan. Saluran `pintu belakang’ memang wujud dan saya bersedia ke mahkamah bagi membuktikannya melalui data dan fakta.
“Saya menghormati hak KPT untuk mengambil apa jua tindakan terhadap saya. Namun saya tidak akan menarik balik pendirian,” katanya dalam hantaran menerusi laman Facebook.
Sebelum ini, media melaporkan KPT memandang serius beberapa tuduhan berkaitan sistem kemasukan ke universiti awam dan sedang mempertimbangkan tindakan perundangan berhubung perkara berkenaan.
Haim Hilman berkata, isu yang diketengahkan bukan serangan terhadap UA, sebaliknya berkaitan keadilan, ketelusan dan akses kepada peluang pendidikan tinggi yang adil kepada rakyat Malaysia.
Katanya, KPT perlu menjelaskan jumlah sebenar pelajar tempatan yang memasuki universiti awam melalui saluran selain UPU setiap tahun termasuk program pengajian yang terbabit.
“Penjelasan ini penting terutama bagi program kritikal seperti perubatan, kejuruteraan, farmasi dan perakaunan di universiti awam utama negara.
“Secara khusus, KPT perlu menjawab berapa ramai pelajar yang gagal mendapat tempat melalui saluran UPU tetapi berjaya memasuki UA melalui saluran terbuka dengan syarat membayar yuran penuh,” katanya.
Beliau berkata, KPT juga perlu menjelaskan mengapa terdapat pelajar dengan merit lebih rendah diterima masuk ke universiti awam apabila mereka mampu membayar yuran pengajian penuh.
Katanya, rakyat berhak mengetahui kesan pelaksanaan saluran berkenaan terhadap pelajar daripada keluarga B40 dan M40 yang bersaing berdasarkan merit menerusi UPU.
“Saya akan terus memperjuangkan ketelusan dalam sistem kemasukan UA serta kebajikan pelajar, khususnya hak pelajar daripada keluarga B40 dan M40,” ujarnya.
Selain itu, menurut Haim Hilman, beliau turut membangkitkan isu kekurangan kolej kediaman dan asrama di UA menyebabkan ramai penuntut terpaksa menyewa rumah dan apartmen di luar kampus dengan kos yang semakin membebankan.
Ujarnya, mereka terdedah kepada pelbagai risiko keselamatan termasuk jarak perjalanan yang jauh ke kelas, persekitaran kediaman yang tidak terkawal serta risiko sosial seperti dadah dan pergaulan bebas.
Beliau turut mempersoal mengapa isu asas seperti penginapan penuntut masih gagal diselesaikan secara menyeluruh di beberapa UA utama negara walaupun penubuhannya sudah lama. MalaysiaGazette
















